Selasa, Ogos 04, 2015

DRAMA SEBABAK : Bak kata omputeh

Di sebuah kedai kopi klasik di tengah kesibukan pekan bernama Bantingin

Din: Kalau pengetahuan kau cetek, tak perlulah emosional sangat.

Mek: Aik? Apa cerita ini?

Din: Kau tu. Kita ini orang biasa. Bukan kita tahu sangat fasal masalah jerebu asap fatamorgana di langit biru tu. 'ALLAH Knows Best', bak kata omputeh. Tawakkal sahajalah. Tak perlu mewar-warkan kepada ramai pendapat kau tu. 

Mek: Hmm... Aku memang setuju - yang kau memang tak tahu apa-apa. Dah kau tak selidik, tak cari maklumat, tak 'analyse', bak kata omputeh. Tapi aku kurang setuju konsep Tawakkal kau tu.

Din: Hah, pengetahuan kau hebat sangatkah?

Mek: Tak hebat, tapi aku bukan jahil. Aku tak nak jadi seorang 'ignorant fool', bak kata omputeh. Benda yang sudah terang lagikan bersuluh. Kita perlu selidik. Lepas tu baru redha dan Tawakkal dan berdoa supaya ALLAH tentukan yang terbaik. Kau pulak dengan sukahati melepaskan tanggungjawab, usaha kosong untuk mencari kenapa jerebu asap fatamorgana melanda langit biru kita dan jalan penyelesaiannya. Macam mana ALLAH nak tolong?

Din: Banyak sangat fitnah, letih aku.

Mek: Sebab tu lah jangan rujuk sumber-sumber tak sahih. Berita bertali-tali pun bukan boleh percaya sangat. Kau rujuk pada sumber asal, tak tahu bertanya.

Din: Lepas tu, apa? Lagipun kita orang kecil sahaja, tiada siapa nak dengar walaupun kita ada terfikir penyelesaiannya.

Mek: Kau jangan 'underestimate the power of Du'a', bak kata omputeh. Manusia memang tak dengar, tapi ALLAH Maha Mendengar. Dahlah, habiskan kopi tu. Mintak sikit kerepek tapioka kau tu.

Din: Hmmm, yelah .

Ahad, Oktober 28, 2012

DRAMA SEBABAK : Solat Jama'

Suatu hari di rumah pada waktu asar.

Sang Isteri : Abang dah solat asar?

Suami : Abang dah solat jama' qasar takdim tadi.

Sang Isteri : Di rumah sendiri mana boleh solat jama'

Suami : Ohh ya. Lupa...


Inilah akibat asyik bermusafir. :)

Isnin, April 30, 2012

PITCH : Culik Pengemis

ACT 1

1. Kisah bermula dengan sekumpulan anak muda yang sedang minum-minum di sebuah gerai selepas pulang dari kolej. Datang seorang pengemis, JAHARAH (40 tahun) & anaknya, ALI (5) untuk meminta sedekah dari mereka. Pertikaian dan pelbagai pendapat tentang sindiket mengemis ini bermula apabila HAFIZ (20) memberikan wang kepada JAHARAH.

2. Dalam masa yang sama, INSPEKTOR BORHAN (30-an) membuat siasatan & penyamaran tentang kegiatan TONNI (40-an).

3. ZAKI (20) bermimpi tentang kejayaan JAHARAH setelah dibantu olehnya & rakan-rakan. Tersedar dari mimpi, ZAKI tekad untuk meneruskan misi membantu JAHARAH dengan cara menculiknya dan kemudian menawarkan pekerjaan.

4. ZAKI berjaya mengajak HAFIZ (20), AZHAR (20), SAIFUL (19) dan dua-tiga orang lagi dalam misi menyelamatkan JAHARAH. Mereka telah menyusun strategi untuk menculik JAHARAH untuk dibawa ke Kedah kerana BAPA HAFIZ bersetuju untuk berikan pekerjaan di salah satu perusahaannya.

5. JAHARAH tetap dengan kegiatan mengemisnya. TONNI dan orang kanannya, BOBBI (40-an) terus memantau orang bawah jagaannya dan INSPEKTOR BORHAN terus menyiasat kegiatan TONNI dan konco-konconya.

ACT 2

6. Bila sudah sampai hari yang dirancangkan, AZHAR, SAIFUL dan lain-lain telah menarik diri dari rancangan. Seribu satu alasan yang diberikan. HAFIZ ikut saja tetapi ZAKI yang paling bersungguh-sungguh memujuk untuk meneruskan usaha.

7. Maka hanya ZAKI & HAFIZ sahaja yang meneruskan niat menculik JAHARAH. Maka dia menyusun strategi lain yang sememangnya tidak memungkinkan mereka berjaya. Tetapi dengan bantuan AZHAR & SAIFUL yang secara kebetulan, mereka berjaya untuk membawa JAHARAH tanpa disedari oleh TONNI & BOBBI.

8. Dalam perjalanan ke Kedah, JAHARAH merayu agar dia dihantar semula ke sindiket walaupun telah diberitahu niat murni ZAKI & HAFIZ. JAHARAH beritahu kebimbangannya jika TONNI dapat tahu dia melarikan diri. Lebih menakutkan ialah keselamatan seorang lagi anaknya, KASSIM (15) yang ditugaskan mengemis di tempat lain.

9. ZAKI & HAFIZ kembali ke KL tetapi bukan untuk ‘memulangkan’ JAHARAH kepada sindiket, tetapi untuk menculik ALI pula. AZHAR dihubungi untuk bantuan.

10. Mereka ke tempat KASSIM ‘bertugas’ tetapi tidak jumpa. Beberapa tempat lain juga dicari tapi tidak jumpa juga. JAHARAH menangis kerana tentunya KASSIM sudah mati dibunuh TONNI.

11. INSPEKTOR BORHAN terus membuat siasatan dan beberapa operasi pembenterasan dijalankan. Tetapi TONNI dan BOBBI masih berjaya meloloskan diri.

12. Setelah dipujuk untuk memulakan hidup baru, JAHARAH bersetuju untuk kembali ke Kedah. Dalam perjalanan tersebut JAHARAH tiba-tiba menangis mengenangkan kematian KASSIM. Ketika itu, HAFIZ mula menjadi serba salah. Dia mengajak ZAKI pula untuk balik ke KL saja bagi mengelakkan perkara menjadi lebih teruk.

13. Di salah satu R&R, mereka singgah untuk makan dan ke tandas. Ketika makan tersebut, JAHARAH memberikan alasan untuk ke tandas. Tetapi sebenarkan setelah mendengar suara orang ramai, dia dan ALI pergi mengemis di sekitar R&R tersebut.

14. KASSIM yang sebenarnya belum mati, juga ada di R&R tersebut. Sebenarnya dia nekad melarikan diri dengan menaiki lori yang menuju ke Thailand. (Flashback : Tindakan KASSIM tetika melarikan diri ketika ada peluang)

15. HAFIZ yang juga ingin ke tandas jumpa JAHARAH dan ALI mengemis. HAFIZ menghampiri mereka tanpa disedari oleh JAHARAH sehinggakan JAHARAH meminta wang dari HAFIZ. JAHARAH berikan alasan, dia perlukan wang untuk masuk tandas pahadal tandas di R&R adalah percuma.

16. Ketika JAHARAH masuk ke tandas, ALI ditinggalkan bersama HAFIZ di luar. ZAKI mengomel kerana ditinggalkan bersendirian. KASSIM masih menunggu di lori sementara pemandu ke tandas.

17. Oleh kerana JAHARAH buta, maka kesulitan dialaminya ketika di dalam tandas. Oleh kerana itu, HAFIZ yang merasa bosan, membawa ALI berjalan-jalan di taman permainan.

18. Salah seorang INFORMER menghubungi INSPEKTOR BORHAN kerana kelibatan JAHARAH & ALI di sana. Maklumat yang disampaikan ke INSP BORHAN bahawa HAFIZ adalah sindiket yang menggunakan JAHARAH

19. Selepas pemandu lori kembali ke lorinya, KASSIM pula meminta izin ke tandas. Ketika berada di depan tandas, dia melihat IBUnya memanggil-manggil nama ALI. Dengan peluang yang ada, dia membawa lari IBUnya dengan niat menyelamatkan dari sindiket.

20. ZAKI dalam marah-marah menjumpai HAFIZ & ALI bermain di taman permainan. ZAKI mengajak mereka supaya cepat. Mereka pergi mencari JAHARAH.

21. KASSIM yang kelam kabut terlupa yang adiknya ALI masih bersama HAFIZ & ZAKI. Oleh itu, dia kembali mencari ALI tetapi dalam masa yang sama tidak mahu ZAKI & HAFIZ jumpa mereka. Dalam kecurigaan tersebut, KASSIM & JAHARAH ditangkap dan dibawa ke balai polis.

22. Dalam kelam kabut mencari JAHARAH, dompet ZAKI pula hilang. Mereka mencari merata tempat tetapi fokus yang berbeza. ZAKI mencari dompetnya sementara HAFIZ mencari JAHARAH.

23. TONNI & BOBBI marah-marah kerana JONNI (40-an) kerana tidak memberikan wang. (Flashback : TONNI & BOBBI sebenarnya menjual JAHARAH & ALI kepada JONNI. Kerana itu, TONNI & BOBBI tak kisah kehilangan JAHARAH). INFORMER sangka HAFIZ adalah JONNI

ACT 3

24. Berdasarkan maklumat tersebut, HAFIZ dan ZAKI ditangkap dan dibawa ke balai polis.

25. Di balai polis, JAHARAH menangis kerana ALI tiada bersamanya. KASSIM cuba memujuk.

26. Ketika HAFIZ & ZAKI di bawa masuk ke balai, mereka merayu-rayu untuk dilepaskan kerana mereka tak bersalah. Mendengar suara ZAKI & HAFIZ, JAHARAH memberitahu kepada PEGAWAI POLIS.

27. Ketika mereka semua berkumpul, masing-masing menceritakan perkara sebenar. Ketika itu, INSPEKTOR BORHAN juga ada bersama.

28. Akhirnya, JAHARAH, KASSIM & ALI ditahan dan dibawa ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). HAFIZ & ZAKI dibebaskan dan dibenarkan pulang ke KL selepas dinasihatkan oleh INSPEKTOR BORHAN agar jangan bertindak sendiri dalam hal-hal begini lebih-lebih lagi kerana melibatkan nyawa orang.

29. Berdasarkan maklumat yang ada, INSPEKTOR BORHAN meneruskan intipan untuk menangkap BOBBI, TONNI & JONNI.

30. Selepas beberapa hari dari peristiwa tersebut, mereka lepak di kedai makan seperti biasa. Datang pula pengemis lain meminta sedekah. ZAKI & HAFIZ berpandangan sesama sendiri dan mereka ketawa mengenangkan pengalaman mereka.

TAMAT

Khamis, Januari 20, 2011

DARI DALAM DIRI : Botak kepala, pecah kelapa

Antara kesalahan sosial yang aku lakukan adalah membotakkan kepala pada waktu yang sangat hampir dengan perayaan Thaipusam!

Memang sejak dari kecil, sampai satu-satu masa aku akan membotakkan kepala. Biasanya aku akan botakkan kepala apabila fikiran sudah serabut dan buntu. Aku botakkan kepala tidak sampai tahap mencukur tetapi sekadar potongan paling pendek persis askar yang baru direkrut.

Pada suatu petang ketika aku dalam tingkatan satu, aku membotakkan kepala beberapa hari sebelum perayaan Thaipusam pada tahun itu. Dan sangat memberikan kesan emosi yang teruk kepadaku.

"Belum hari Thaipusam kau dah botak dah?"
"Berapa banyak kelapa yang kau pecahkan?"
"Berat tak kavadi?"
"Kau pun cucuk-cucuk juga? Sakit tak?"

Semua soalan-soalan diatas adalah soalan sinis kerana mereka semua tau yang aku beragama Islam!

Jadi sejak itu, sebelum aku botakkan kepala, aku akan pastikan tarikh perayaan Thaipusam adalah jauh sekurang-kurangnya dua bulan.

Namun selepas itu, kesan emosi yang lain pula yang aku terima. Dan kali ini aku pula yang mengharapkan ia menjadi kenyataan dan aku benar-benar impikannya.

"Bila kau balik dari umrah? Tak tau pun"

Khamis, Disember 23, 2010

Pandir dan Kaduk

Bukan saja tempang malah bergoyang...
mahu tumbang.

Bukan saja hanyir malah berlendir..
macam gampang.

Bergoyang biar bergoyang
namun ada susuk bodoh dungu dan dangkal datang bertuhan...
bergantung dan mengharap.

Biar hanyir biar berlendir,
namun ada yang tetap datang menjilat lahap..

Tidak cukupkah Pandir dan Kaduk
sebagai lambang kebodohan umat itu?

Pilihan di Persimpangan

Pernahkah sampai di persimpangan?
Tidak punya petunjuk jalan,
peta pula tiada di tangan,
tapi harus ada keputusan.

Mula gunakan akal fikiran
Terkadang hati dijadikan sandaran
Datang kenalan dengan hasutan
Entahkan kawan ataupun bukan?

Bila terlajak tak berguna penyesalan
Kalau tersilap jadikan pengajaran
Hanya Tawakkal jadi pegangan
Minta terbuka dan dimudahkan laluan