Memaparkan catatan dengan label Dari dalam diri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Dari dalam diri. Papar semua catatan

Khamis, Januari 20, 2011

DARI DALAM DIRI : Botak kepala, pecah kelapa

Antara kesalahan sosial yang aku lakukan adalah membotakkan kepala pada waktu yang sangat hampir dengan perayaan Thaipusam!

Memang sejak dari kecil, sampai satu-satu masa aku akan membotakkan kepala. Biasanya aku akan botakkan kepala apabila fikiran sudah serabut dan buntu. Aku botakkan kepala tidak sampai tahap mencukur tetapi sekadar potongan paling pendek persis askar yang baru direkrut.

Pada suatu petang ketika aku dalam tingkatan satu, aku membotakkan kepala beberapa hari sebelum perayaan Thaipusam pada tahun itu. Dan sangat memberikan kesan emosi yang teruk kepadaku.

"Belum hari Thaipusam kau dah botak dah?"
"Berapa banyak kelapa yang kau pecahkan?"
"Berat tak kavadi?"
"Kau pun cucuk-cucuk juga? Sakit tak?"

Semua soalan-soalan diatas adalah soalan sinis kerana mereka semua tau yang aku beragama Islam!

Jadi sejak itu, sebelum aku botakkan kepala, aku akan pastikan tarikh perayaan Thaipusam adalah jauh sekurang-kurangnya dua bulan.

Namun selepas itu, kesan emosi yang lain pula yang aku terima. Dan kali ini aku pula yang mengharapkan ia menjadi kenyataan dan aku benar-benar impikannya.

"Bila kau balik dari umrah? Tak tau pun"

Khamis, Disember 23, 2010

Pandir dan Kaduk

Bukan saja tempang malah bergoyang...
mahu tumbang.

Bukan saja hanyir malah berlendir..
macam gampang.

Bergoyang biar bergoyang
namun ada susuk bodoh dungu dan dangkal datang bertuhan...
bergantung dan mengharap.

Biar hanyir biar berlendir,
namun ada yang tetap datang menjilat lahap..

Tidak cukupkah Pandir dan Kaduk
sebagai lambang kebodohan umat itu?

Pilihan di Persimpangan

Pernahkah sampai di persimpangan?
Tidak punya petunjuk jalan,
peta pula tiada di tangan,
tapi harus ada keputusan.

Mula gunakan akal fikiran
Terkadang hati dijadikan sandaran
Datang kenalan dengan hasutan
Entahkan kawan ataupun bukan?

Bila terlajak tak berguna penyesalan
Kalau tersilap jadikan pengajaran
Hanya Tawakkal jadi pegangan
Minta terbuka dan dimudahkan laluan

Jumaat, Disember 17, 2010

Penentangan Sang Orang yang Diserang

Sepanjang jauhnya perjalanan ini
Semakin jauh aku tinggalkan sunyi
Semakin hampir aku dengan bingit
Pekik dan teriak orang yang diserang

Dari kejauhan aku berdiri
Memerhati gerak-geri cuba memahami
Biarpun aku sedar badan ini kerdil
Nekad tidak toleh ke belakang

Dalam hiruk-pikuk dan kebingungan
Aku cuba hulurkan tangan
Ingin mencapai tangan-tangan yang menggapai
Selangkah ku ke depan semakin tak sampai

Orang yang diserang semakin longlai
Teriak dan bingit hanya sayup kedengaran
Aku hanya mampu memerhati
Darah yang likat membasahi diri

Tidak sekali tamat perjuangan
Dan ini bukan penentu keputusan
Orang yang diserang sudah mati, badan terkujur
Namun perjuangan kan terus hidup, hidup, dan hidup...

Khamis, September 02, 2010

Nikmat

Sebenarnya, lupa juga merupakan satu nikmat.

Sebab itu ramai ibu-ibu yang masih melahirkan anak-anak. Kalaulah mereka masih ingat kesakitkan ketika melahirkan anak sulung, pastilah mereka tidak akan melahirkan anak kedua dan seterusnya.

Selain itu, dengan nikmat lupa jugalah manusia dapat memaafkan kesalahan orang lain. Kalau tidak, pastilah seseorang itu terus berdendam dan tidak melupakan.

Aku adalah antara mereka yang diberikan nikmat lupa tersebut.

Oleh itu, maafkanlah aku sempena hari raya ini.

Selamat Hari Raya Eidulfitri. Maaf Zahir Batin.

Selasa, Januari 26, 2010

Salam pembuka

Di sini aku pernah berkompang
Dengan tari lenggok aku
Dengan lagu irama aku
Andai pecah, pecah lah
Andai punah, punah lah

Disini aku pernah menumpang
Dan kini datang
menumpang lagi
Berkongsi pada kadar biasa
Apa jua yang bersidai di benak ini

salam pembuka buat semua..

Jumaat, Disember 04, 2009

DARI DALAM DIRI : Lesu dan Kaku

Dihimpit rasa kesal
walaupun sepatutnya tidak
Kekadang seronok
kerana inilah dihajatkan
Dihimpit beban
sehingga lesu
Di mana dia?
Sedang kaku dan bisu?
Inilah akibat
lupakan Tuhan, Tuhan dah lupakan.

Ini saat perlunya berubah
tidak tangguh lagi
Tuhan
jangan lupakan aku
berikan kesenangan
dan kelapangan
juga peluang
Tak mahu lagi
lesu dan kaku

Rabu, Oktober 21, 2009

Semuanya milik ALLAH

Anak kami akan mencapai umur setahun pada 26 December akan datang.

Sehingga hari ini anak kami yang kami namakan dengan nama Muhammad Wa'idz Fakhriy (dipanggil Wa'idz) masih belum punya gigi dan masih belum berjalan. Cuma telah mula belajar berdiri sendiri tetapi selalunya akan jatuh terduduk.

Bukan kami tidak ajarkan dia berjalan. Bukan kami tidak sediakan alat bantu untuk dia belajar berjalan.

Tetapi kepandaian itu milik ALLAH. ALLAH lah jua yang berikan pengetahuan dan kebolehan. Kami sebagai ibu bapa hanya bertanggungjawab untuk berusaha tetapi kalau ALLAH tidak atau belum izinkan Wa'idz berjalan atau tumbuh waima sebatang gigi, itu bukanlah urusan kami.

Oleh itu jangan kerap sangat membandingkan seumur ini sepatutnya boleh ini, seumur itu sepatutnya boleh itu! Fahamilah bahawa semua kurniaan adalah milikNYA dan kita perolehinya dengan izinNYA.

Ahad, Oktober 11, 2009

DARI DALAM DIRI : Sibuk

Selepas lebih sebulan aku bertugas di syarikat baru, aku terasa bebannya.

"Semakin tinggi gaji, semakain tinggi tanggungjawab."

Memang benar! Dan sekarang aku lebih banyak meluangkan masa untuk kerja-kerja dunia. Jarang sangat berjemaah di sarau sekarang ini. Di rumah juga tidak juga solat berjemaah dengan isteri.

Ya Allah, ampun aku. Aku berjanji akan lebih banyak luangkan masa dengan perkara-perkara yang sepatutnya. Bebanan kerja sepatutnya tidak menjadikan alasan. Benarlah kata seorang teman, "Kalau kita lupakan ALLAH, maka ALLAH akan melupakan kita"

Solat lima waktu semata-mata tidak semesti kita mengingati ALLAH kerana kadang-kadang kita hanya solat untuk memenuhi syarat. Bukanlah kerana menginati ALLAH.

Selasa, Ogos 18, 2009

DARI DALAM DIRI : Kembali

Entah tiba-tiba aku rasa yang aku perlu kembali.

Jumaat, September 05, 2008

DARI DALAM DIRI : Maafkan aku atas kesalahan kau

Maafkanlah aku walaupun aku rasa kau yang salah.

Dulu waktu pilihanraya umum, kau sibuk-sibuk mengutuk UMNO yang tidak Islamik. Kau kata PKR-lah lebih Islamik dari UMNO. Tapi bila waktu solat aku tak nampak pula kau berpeseng ke masjid atau surau untuk menunaikan solat. Rasanya sehingga habis waktu kau tidak mengerjakannya.

Maafkan aku kerana mengatakan yang kau salah.

Sekarang ini bulan Ramadhan. Kau masih tak habis-habis berpolitik. Walaupun kau bukanlah orang Permatang Pauh, tapi kau terus menerus mengutuk UMNO yang tidak Islamik itu. Walaupun dalam bulan Ramadhan ini kita sepatutnya menjaga peribadi kita termasuk mulut.

Maafkan aku kerana mengatakan yang kau salah.

Kau menyokong PAS kerana ingin menegak Islam. Tapi kau sendiri tidak berusaha membaiki siasah diri kau. Sepanjang Ramadhan yang baru masuk hari kelima ini, kau hanya menunaikan solat terawih itu sekali. Syabas kerana kau menunaikannya duapuluh rakaat. Tetapi kau memperlekeh mereka-mereka yang menunaikan solat terawih lapan rakaat. Sedangkan kau sendiri solat sekali sekala.

Maafkan aku kerana mengatakan yang kau salah.

Sebenarnya aku yang nampak kau sekali-sekala. Tetapi hakikatnya kau solat kerana ALLAH, kan? Tidak menunjuk-nunjuk kepada sesama manusiakan? Kerana itu orang tak nampak kau solat kan? Walaupun kau hadir ke gotong-royong di surau sehingga masuk waktu zohor kau tidak bersama ahli kariah lain untuk berjemaah.

Maafkan aku kerana mengatakan yang kau salah.

Tetapi tidakkan kau tau, makmum menyambut dengan kata-kata "Karamahu wajhah" ketika bilal menyebut nama Saidina Ali Bin Abi Talib? Sedangkan kau masih dengan "Radi-Allahu anhu"

Kenapa?

Khamis, Julai 10, 2008

DARI DALAM DIRI : Fikir dulu sebelum marah

Semua orang ada masalah masing-masing. Dan masalah itu ada yang tersendiri. Cara orang menyelesaikan masalah juga masing-masing & tersendiri.

Nasihat aku pada kau...

Jangan mudah sangat nak meludah! Nanti kau juga yang susah nak jilat balik.

Selasa, Disember 18, 2007

DARI DALAM DIRI : Bebanan dakwahMu

Ya ALLAH,
Kenapa aku yang menjadi rebutan?
Apakah kerana aku yang mahukan kedua-duanya?

Selasa, November 13, 2007

Masih belum ada masa untuk update

"Allahumma janibnasyaiton wa janni bisyaiton ma rozaktana"

Jumaat, Oktober 05, 2007

Mr. Bush, di Malaysia tiada teroris.

Ketahuilah seluruh dunia yang Malaysia ini tiada pengganas, lebih-lebih lagi pelampau agama.

Walaupun Malaysia berbilang kaum, orang Melayunya tidak ekstrimis terhadap Islam, tidak seperti di negara Arab & jiran kami Indonesia (kononnya). Orang Indianya tidak ekstrimis terhadap Hindu, tidak seperti di negara India. Orang Cina tidak ekstrimis terhadap Buddha, tidak seperti di negara Nyanmar.

Tetapi kenapa ya, para pemimpin kami bersungguh-sungguh mahu menafikan yang Malaysia ini tidak ada pengganas, lebih-lebih lagi pelampau agama. Walaupun seluruh dunia sudah tahu.

Kawan aku berkesempatan berjumpa dengan Abuya pengasas al-Arqam baru-baru ini. Apabila ditanya tentang dirinya, Abuya hanya berkata dia sekarang dah RTM - rehat tunggu mati. Tidak ada apa-apa lagi yang boleh dia lakukan.

Jadi, tak perlulah pemimpin-pemimpin kami bermain 'wayang' untuk menunjukkan kepada dunia yang mereka membuat 'kerja' dalam menghapuskan pengganas, kan?

Selasa, Julai 17, 2007

DARI DALAM DIRI : Mempercepatkan waktu

Dia terlalu wanita.

Mengharapkan belaian saya,
bagai saya seorang Romeo,
bagai saya seorang Uda,
bagai saya seorang Qais,
bagai saya seorang Bonaparte,
hingga bagai saya seorang Yusuf.

Dia mahu saya menjadi lelaki yang selalu muncul dalam mimpi remajanya.

Tetapi saya bukan!

Ahad, Jun 03, 2007

Rabitah

Ya ALLAH, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini,
berkumpul kerana mengasihiMu,
bertemu untuk mematuhi perintahMu,
bersatu memikul beban dakwahMu.

Hati-hati ini telah mengikat janji setia,
untuk mendaulat & menyokong syariatMu,
maka eratkanlah ikatannya,
kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini,
tunjukkanlah kepada hati-hati ini jalan yang sebenar.

Penuhkanlah hati-hati ini dengan cahaya
RabbaniMu yang tak kunjung padam,
lapangkanlah hati-hati ini dengan limpahan iman,
dan keyakinan serta keindahan tawakkal kepadaMu,
suburkan hati-hati ini dengan pengetahuanMu yang hakiki.

Jika Engkau takdirkan kami mati,
maka matikanlah pemilik hati-hati ini
sebagai para syuhada dalam perjuangan agamaMu.
Engkaulah sebaik-baik sandaran
dan sebaik-baik penolong.

Ya ALLAH, perkenankanlah segala permintaan kami ini,
Restuilah Rasul kami, Muhammad dan seluruh keluarga baginda,
serta seluruh sahabat-sahabatnya.

Amiin.

Jumaat, Disember 15, 2006

DARI DALAM DIRI : Aku rindu untuk membencimu

Berulangkali
bukan pertama kali
atau kali kedua

Ketika dia mahu kembali
kau akan menyusul serta

Dan ketika itu juga
aku menjadi edan
untuk menanti kehadirannya

kerana kau dan dia
pasti datang berdua
aku menjadi edan
dan merindui mu
sekali-sekala

Namun tak lama
hanya seketika cuma
kerana aku pasti
akan membencimu

Aku tidak menyalahkanmu
kerana aku yang malas
untuk coret pada helaian-helaianmu,
sebuah diari!

Rabu, November 29, 2006

Mahu Berjaga

Hantukkan kepala ke dinding
Bila kepala pening

Ku mamah biji kopi
Tertekan tidak terperi

Apa ubat mengantuk?

Ku tak rela terlena
Aku mahu berjaga

Kerja bertimbun
Berhenti mengelamun!

Apa ubat mengantuk?

Gula-gula manis rasanya
Orang kata pembuka mata!

Ku rasa rimas dan lemas
Basahkan tubuh segarkan nafas

Apa ubat mengantuk?

"Hoi Saudara mengapa bersusah payah?
Pipimu merah mata merekah!

Tinggalkan timbunan itu
Pergi diam dalam kamarmu
Penawarnya hanya satu
Tidur dalam kelambu!"