Memaparkan catatan dengan label Teater. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Teater. Papar semua catatan

Rabu, Jun 30, 2010

TEATER : Kopitiam Ghadir kembali

Pementasan teater Kopitiam Ghadir karya Faisal Tehrani kembali.

Selamat menonton

Jumaat, Ogos 21, 2009

TEATER : Persembahan Berdasarkan Hadis

Setahu saya persembahan teater Kopitiam Ghadir (KG) oleh Faisal Tehrani yang lepas adalah persembahan kedua yang membongkar dan mempersembahkan berdasarkan hadis nabi secara serius.

Yang pertama dulu adalah teater karya Dinsman - Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT) - persembahan lakonsemula hadis yang diriwayatkan oleh Ka'ab Bin Malik yang menunggu jawapan dari Allah tentang taubatnya akibat tidak mengerjakan jihad Perang Tabuk tanpa uzur.

Kedua-dua teater ini mengundang ramai para ustaz dan ustazah untuk menontonnya. Malah rata-rata dari mereka yang hadir menonton adalah pertama kali menonton teater.

Saya percaya sebelum ini sudah banyak lagi teater yang premisnya berdasarkan hadis malah juga yang membuat simulasi bedasarkan al-qur'an dalam karya-karya mereka. Bagaimanapun saya percaya dua teater ini - KG & MKDT adalah teater yang lebih serius membongkar dan dipersembahkan secara didaktik (yakni "berniat untuk mengajar") dan jelas menyatakan matan dan periwayat-periwayat hadis yang menjadi isi persembahan.

Beza antara keduanya adalah MKDT digerakkan secara lakonsemula matan hadis yang panjang (paling panjang menurut pengarah dan penulis - Dinsman) serta sedikit rekonstraksi. Sedangkan dalam KG, pemain-pemain membaca (sekurang-kurang empat) hadis-hadis yang berkaitan dengan Ghadir al-Khumm secara penuh syarah umpama kita berada di dalam kuliah-kuliah agama.

Persembahan secara syarah ini bukanlah yang pertama dari Faisal kerana tahun lepas - juga dipersembahkan dalam bulan ogos - bulan kemerdekaan - karyanya 'Dua Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun' (DJSSASD) dan novelet 'Tuhan Manusia' juga dipersembahkan secara syarah sehingga mengundang rasa bosan kerana bebelan dari para pemain.

Tetapi dalam KG kali ini tidak sama sekali. Walaupun tetap dengan mazhab didaktiknya, KG adalah berbeza. Mujur saya tidak serik menonton DJSSASD kerana GK dipersembahkan dengan penuh sinis dan hibur. Tidak rugi menontonnya! Menontonlah kerana GK akan dipentaskan lagi.

Semoga kita mendapat manfaat & berkat dari apa yang kita tonton, dan semoga mereka - Pemuda Revolusi Pembudayaan Selawat - mendapat manfaatkan & rahmat dari apa yang mereka persembahkan.

Rabu, Ogos 27, 2008

TEATER : menunggu 2 jam yang dimaksudkan

Persoalan mengapa, siapa, bagaimana dan bila Sultan Alauddin syahid (dan kenapa syahid, bukan mati?) diracun tidak disampaikan dengan secara penuh efektif kepada penonton yang menonton pementasan teater 'Dua Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun', di Auditorium Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya semalam.

Perkara-perkara penting yang sepatutnya menjadi tujuan pementasan ini diadakan tidak disampaikan secara jelas melainkan secara syarahan semata-mata. Saya fikir, ini bukanlah kerana naskah. Tetapi kelemahan pengarahan dan lakonan yang tidak diatur tempo termasuk atikulasi pelakon-pelakon.

Ini menyebabkan naskah terbaru Faisal Tehrani ini mengikuti nasib naskah-naskah yang lain seperti Rintih Chicago dan Angin Madinah yang mendapat pengikhtiraf dari segi naskah tapi tidak berjaya, termasuk memberikan kepuasan kepada penonton.

Satu-satunya naskah Faisal yang berjaya, bagi pengamatan saya, hanya Misi yang ditangani oleh Namron dengan begitu cemerlang sekali.

Berbalik kepada pementasan 'Dua Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun', saya kira persembahan hanya bermula ketikamana pengarah Dr. Abu Hassan Hasbullah naik ke pentas untuk memberikan arahan kepada pelakon-pelakon. Satu jam lebih sebelum itu adalah sia-sia dan amat membosankan. Mungkin inilah 'akibat' dari genre yang diasaskan oleh Augusto Boal itu.

Menurut Faisal, teater ini menyajikan tiga lapis teks, tetapi lapisan pertama tentang persiapan sebelum persembahan (babak dalam dressing room) tidak disampaikan dengan baik, jadi bagaimana nak membantu penonton mendapat lapisan ketiga yang memerlukan 'renungan' itu.

Bagaimanapun, tahniah kepada Akademi Sinema Amatur Malaysia kerana masih dikira berjaya mempersembahan teater Islami di tengah-tengah iklam politik Malaysia yang aneh dan semangat hari kemerdekaan. Diharapkan selepas ini kita (baca : khalayak teater) dapat menonton lebih banyak teater-teater Islami yang bermutu.

Untuk teater ini saya beri tujuh bintang! Tujuh dari duapuluh-satu bintang penuh.

Selasa, Mei 27, 2008

TEATER : Vertigo

Sabtu lepas, 24 Mei aku menonton teater eksperimen 'Vertigo' arahan Namron.

Sudah lama aku tak menonton teater. Lama sungguh! Sehinggakan aku tak ingat bila kali terakhir aku menontonnya. Yang pasti, ini adalah teater pertama yang aku menonton sebagai seorang suami, dan aku menonton bersama-sama isteriku.

Vertigo yang bermaksud memutar dari perkataan latin - vertege. Vertigo juga adalah satu penyakit.

Photobucket

Namun walaupun aku dah lama tak menonton teater, aku masih faham. Yang pening - pusing pusing cuma isteriku.

"Pening sebab mengandung kot. Nasib baik tak berdengkur dalam tu!"

Isnin, Mac 03, 2008

TEATER : Maskara 7


Kali terakhir aku muncul di pentas Maskara adalah Maskara 2. Selepas itu ada yang aku tidak hadir terus ataupun kalau hadir aku tak naik ke pentas atau datang sekejap untuk singgah.

Dan Sabtu yang lepas, adalah Maskara yang ke tujuh!

Walaupun hanya sempat menyaksikan persembahan Ms Fynn, kesannya sungguh besar kepada isteri dan adik-adik iparku yang datang bersama Sabtu itu. (Apakah kesannya? Nanti aku beritahu.)

Maaf kerana aku datang lewat dan pulang pula awal. Kerana sebenarnya aku ada hal lain, tapi alhamdulillah sempat juga singgah walaupun sekejap. Dapatlah jumpa beberapa kawan-kawan. Attokz, Naga, Vovin, Tok Rimau, Nizam Rusly, Samurai, Spyz, Nurie, Jigo & Pyanhabib.


Kawan-kawan lain yang masih di dalam seperti Mat Jan, Alif Firdaus, Nesloice, Amir Mukhriz, Icesoul & Sufian Abas tak sempat aku ketemui kerana harus ke tempat lain. Wajah-wajah lain aku tak perasan kerana gelap, maaf.


Di dalam kereta ketika dalam perjalanan ke tempat lain itu, masing-masing medeklamasikan sajak-sajak mereka. Termasuk isteriku, termasuk kedua-dua adik iparku. Apa saja yang ingin dikatakan, mereka meluahkan mengikut style pembacaan puisi.


Aku ingat habis pada malam itu saja, tetapi tidak! Mereka terus berpuisi sehingga pagi esoknya.


Berkesan juga Maskara dalam apresiasi seni. Diharapkan lebih berkembang.

p/s. Kingbinjai, engkau ke mana?

Khamis, Julai 12, 2007

Selasa, Julai 10, 2007

TEATER : Maskara 2

Aku memang dah gian berteater (semula). Tapi malas nak pergi latihan! Sejak kali terakhir tahun lepas, aku dah menolak beberapa tawaran dari kawan-kawan aku dari KTKL dan ASWARA. Sebab aku malas nak pergi latihan!

Apabila diminta untuk berduet dalam Maskara 2 anjuran sindikit soljah aku memang tak fikir lama untuk setuju. Dan karya aku Drama sebabak : Jual penyakit memang aku fikirkan paling sesuai untuk pembacaan secara duet, walaupun entri-entri dalam blog aku yang lain-lain kebanyakkan juga drama sebabak.

Aku dan Esis adakan meeting ringkas di NZ wangsa maju. Esis setuju untuk baca karya aku itu. Dalam meeting ringkas tersebut. Kami ada bincangkan untuk membuat satu kelainan.

“Alif akan buat magik sebagai show dia.”
“Itu dah kira lain tu”
“Kita kena pikir yang lain dari yang lain. Supaya orang akan ingat show kita”
“Emm. Apa kata kalau kita masukkan unsur teaterikal dalam show tu?”
“OK juga. Tapi macamana?”
“Kita berlakon lah atas stage tu. Tapi kita baca la. Mana sempat nak hafal”
“OK. Aku setuju”

Kami cuma sempat bincang serba ringkas saja tanpa ada latihan.

Tidak adil jika karya aku sahaja. Aku cadangkan untuk Esis stanby karyanya yang sesuai (stanby kerana ketika itu kami tak tau yang kami mendapat dua slot malam itu) untuk duet. Tapi katanya tidak ada yang sesuai untuk duet kecuali perlu dikonstruk semula. Dan Esis memilih karya ‘Kisah Uki’ . Aku setuju.

Untuk ini juga kami hanya sempat bincang secara ringkas tanpa latihan.

Pada malam persembahan, baru aku dapat lihat ‘ruang lakon’ kami. Memang sesuai untuk kami jadikan tandas!, dan yang paling penting, aku tetap dapat lepaskan gian.

Terima Kasih Esis. Terima kasih sindikit soljah. Selain dapat lepaskan gian, merasa juga aku berkongsi pentas dengan Pyanhabib!

Isnin, Julai 02, 2007

Sabtu, Julai 29, 2006

TEATER : Wangi Jadi Saksi

Kalau mahu cari persoalan baru tentang kesudahan 'perlingkahan' antara Hang Tuah dan Hang Jebat, ia tidak ada dalam teater ini.

Teater Wangi Jadi Saksi yang dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka pada 27 Julai hingga 6 Ogos 2006 ini adalah naskah yang dikemaskini berbanding teater Saksi yang juga dipentaskan di Dewan Bahasa dan Pustaka beberapa tahun lepas.

Ini adalah kerana pengarah teater Wangi Jadi Saksi ini iaitu Uwei Hj Sa'ari juga terlibat dalam kolaborasi dalam pementasan Saksi bersama-sama Hariri Jalil, Rosdeen Suboh, Melissa Saila, Adlin Aman Ramlie dan Khir Rahman.

Tetapi beberapa penambahan watak telah melengkapkan naratif yang banyak ditinggalkan berbanding naskah Saksi iaitu Watak Bendahara (lakonan Dato' Rahim Razali) dan Masa (lakonan Sabri Yunus).

Selain itu, perubahan pemain watak Dang Wangi dan Pateh Karma Wijaya juga dilihat sebagai satu perubahan yang positif kerana peran Dang Wangi oleh Vanida Imran lebih cemerlang berbanding Melissa Saila, dan peran Pateh Karma Wijaya oleh Khalid Salleh berbanding Rusdeen Suboh.

Tetapi Watak Hang Tuah kali ini oleh Khir Rahman kurang menyerlah berbanding Adlin Aman Ramlie (yang datang menonton). Dan watak Hang Jebat yang ditinggalkan oleh Khir Rahman digantikan oleh Soffi Jikan yang lebih baik olahtubuhnya di atas pentas.

Dengarkan saja nama LeBrocquy Fraser Sdn Bhd dan beberapa warga asing dalam pembikinan teater di Malaysia (bukan dipentaskan di Istana Budaya!) membuatkan saya lebih-lebih terpanggil untuk menonton (walaupun tiketnya mahal) teater ini untuk menyaksikan teknikal dan ruang pentas produksi ini.

Walaupun pentas kosong tanpa hiasan yang menyemakkan, dan itulah ruang pentas di tangan pereka set luar (persamaan dengan teater 'Saturday Nite Never' di Istana Budaya). Penonton dapat membezakan di mana ruang Istana dan di mana ruang rumah Pateh Karma Wijaya walaupun tanpa adanya tanda tunjuk.

Dan selagi nama manusia (tak kira orang luar atau tempatan) tetap melakukan kesilapan. Dan teater ini tidak terlepas dari tidak melakukan kesilapan (walaupun kecil tidak menganggu perjalanan persembahan).

Secara keselurahan saya berpuas hati menonton , cuma saya tak jumpa kupasan baru dalam kesudahan 'perlingkahan' antara Hang Tuah dan Hang Jebat, dalam teater ini.

Sabtu, Julai 02, 2005

TEATER : Jauh di Lubuk Hatinya

INTRO
Kesempatan aku ada urusan di Shah Alam dari pagi, aku tak melepaskan peluang untuk menonton pementasan teater di Auditorium Muzium Shah Alam. Mujur juga dapat menonton tanpa membayar apa-apa

PENCERITAAN
Berkisar tentang seorang ibu (Ani) yang ditinggalkan oleh suaminya bersama-sama anaknya yang sakit. Dia berjiran dengan Omar/Tempang dan Jueni. Mereka bertiga miskin sehingga tiada duit untuk mengubati anak Ani.

Bagaimanapun ada seorang wanita (Munah) yang sanggup membawa bayi itu untuk mendapat rawatan tetapi bersyarat memberi anak itu kepada beliau dengan harga 300 ringgit. Tetapi Ani tidak menyerahkannya.

Ditengah-tengah pementasan, datang pula watak seorang wanita bernama Rita yang mencari ibu bapanya kandungnya. Ketika ibu angkatnya sedang nazak, dia diberitahu bahawa semasa kecil beliau dijual oleh ibubapa kandungnya. Dan dia ingin benar mencari ibubapanya dan berat merasakan bahawa dia berasal dari situ.

Bila Rita mendapat tahu anak Ani ingin dijualkan oleh Omar kepada Munah (Ketika ketiadaan Ani kerana mencari ubat), dia menghalang dan Jueni pula membunuh Rita kerana menjadi halangan dalam proses menyelamatkan anak Ani.

Akibatnya Munah ubah fikiran kerana takut dikatakan mencuri anak orang dan ketika itu Ani pulang dengan berjaya mendapat ubat untuk anaknya. Tetapi malang kerana anaknya sudah hilang. Ani meraung dan menjerit mencari anaknya yang juga bernama Rita.

Drama ini berakhir dengan kemunculan Jueni dengan tangan yang berlemuran darah dan Rita yang bangun kembali dan memanggil-manggil ayah dan ibunya.

PENGARAHAN
Aku tak fikir pengarah betul-betul faham dengan naskah 'Jauh di Lubuk Hatinya' karya Allahyarham Bidin Subari. Garapan naskah yang tidak kemas terutama di akhir cerita. Pengarah (M.Rafi Jafranee) juga tak dapat tentukan naskah ini berbentuk realis, suralis atau lain-lain.

Pengarah juga gagal membentuk pelakon mengikut tempo cerita kerana dalam beberapa babak yang penting tidak dilakukan dengan baik. Contohnya ketika Ani membawa balik ubat (membebel terlalu lama sebelum masuk memberi ubat kepada anaknya).

Cerita ini juga penuh dengan dialog-dialog lucah dan mencarut. Aku rasa banyak lagi perkataan-perkataan lain yang boleh digunakan dalam pementasan ini. Bahasa yang digunakan dalam pementasan ini amat kasar dan tak sesuai untuk pementasan umum terutama dianjurkan oleh kerajaan negeri.

HAHA... tetapi mungkin pengarah ingin meminta maaf kerana keceluparan pelakon-pelakonnya yang melontarkan dialog-dialog kasar dalam pementasan dengan ramai-ramai menyanyikan lagu kempen budi bahasa selepas 'curtain call'.

Tetapi yang bagusnya ialah dia menyediakan tisu kepada setiap penonton yang hadir kerana tisu itu dapat digunakan ketika menangis (Inikan cerita sedih!)

SET / LATAR MASA
Set yang lengkap dan bersesuaian dengan cerita (Jika genre realis diambil kira). Tetapi apakah set ini bersesuai mengikut latar masanya? Membeli anak dengan harha RM 300.00 itu pada zaman bila?

LAMPU
Mainan lampu yang kelam kabut sehingga merosakkan cerita terutama di akhir pementasan.

AUDIO
Lagu yang tak sesuai dengan cerita. Terutama ketika dialog antara Ani dan Omar serta ketika Omar bermonolog.

LAKONAN
Tahniah kepada pelakon kerana aku fikir berjaya terutama Wan Shades yang membawa watak Jueni yang separuh gila. Tetapi ada ketikanya Wan menjadi over.

Watak Munah pula tidak digunakan sepenuhnya oleh pelakon drama TV - Maimon Muttalib. Banyak lagi yang harus ditonjolkan bila menjadi seorang kaya yang megah dengan kekayaan.

Lain lain pelakon juga bagus dan perlukan banyak penghayatan dalaman walaupun rata-rata mereka mempunyai banyak pengalaman lakonan pentas.

OUTRO
Perlu banyak lagi pendedahan tentang teater dan tahniah dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor, Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Selangor dan Majlis Kebudayaan Negeri Selangor kerana mementaskan pementasan teater percuma.

Khamis, Mei 12, 2005

TEATER : Bangsat

Dengar sahaja perkataan bangsat, ramai orang membayangkan sesuatu pengertian yang tidak baik untuk disebut atau diucapkan. Jika itu yang kita fikirkan, tanpa cuba memahami keadaan sekeliling, tentu sahaja kalimah bangsat itu membawa konotasi yang buruk.

Dalam teater 'Bangsat' karya dan arahan Khalid Salleh ini, bangsat membawa pengertian miskin lingkungan pemikiran dan memerlukan perjalanan jauh untuk meluaskan pandangan serta akal budi kemanusiaan.

Bermula dengan monolog tentang memburu seseorang tetapi tidak pasti siapakah orangnya, samalah seperti memburu sesuatu tapi tak tau apa yang diburunya. Dalam pencarian itu, Salwa(lakonan Maizatul Akma) cuba untuk bangkit dari sejarah hitamnya melalui amalan meditasi dan menelaah inti falsafah yang terdapat dalam al-qur'an.

Intipati dan persoalan yang cuba dibangkitkan dalam teater ini adalah tentang nilai jatidiri manusia yang seharusnya berasaskan kebenaran ihsaniah di mana akal perlu mendapat asuhan agama.

Ungkapan retorik dari golongan marhaen!

Lebih terasa begitu kerana pementasan ini adalah monolog seorang pemain di atas pentas yang kosong tanpa prop dan set. Yang ada di pentas yang serta gelap itu adalah juraian sehelai kain putih dari tengah-tengah backdrop pentas.

Namun begitu, kesan permainan yang baik dari pelakon, apa yang ingin disampaikannya sampai juga ke penonton.

Tetapi jika anda yang ingin menonton kerana sekadar nak release tension, teater ini tak sesuai. Dan kalau anda memang jenis tak ada duit, jangan membazirkan RM 20.00 untuk menonton teater ini.

Dengar saja kuliah-kuliah agama atau baca saja buku-buku tentang falsafah sebab-musabab dan natijah sesuatu kejadian.

Bezanya, ini disampaikan dalam bentuk lakonan.

Selasa, Mei 03, 2005

TEATER : Bila Tanggang Nak jadi Batu?

Siapa yang tak tau tentang cerita Si Tanggang, anak yang menderhaka pada ibunya. Dengar sahaja tajuknya, penonton sudah tahu penghujungnya. Tanggang disumpah menjadi batu akibat menderhaka pada ibu kandungnya. Mak Utih. Disebabkan pementasan ini bangsawan, maka jalan cerita tidak boleh diubah-ubah.

Kerana itu juga, akibat tempo yang tidak terkawal dan terlalu banyak selingan, penonton tak sabar-sabar untuk melihat Tanggang (Lakonan Shajiry) menjadi batu, sekaligus menamatkan pementasan. Bagaimanapun, skrip yang ditulis oleh A. Morad Ibrahim yang tidak meleret-leret itu, sedikit membantu.

Tentang pengarah Amizai. Apa masalah anda dalam pementasan ini? Apakah anda pertama kali mengarah teater (tentu tidak!) atau pertama kali mengarah bangsawan? Jika ya, saya nasihatkan anda perbanyakkanlah menonton filem Hindustan.

Atau masalah anda tidak boleh mengawal 'pelakon-pelakon' yang sudah ada nama seperti Shajiry, Watie Elite, Ieda Moin dan Shah Farid (Musang Si Guntang)? Jika ya, saudara harus belajar dengan Dato' Yusof Haslam.

Atau masalah anda tak mampu mengawal bilangan pelakon yang ramai dalam satu pementasan? Jika ya, anda perlukan pasukan sokongan yang bagus.

Saya akui bahawa mengawal pelakon dipentas bukan tugas mudah lebih-lebih lagi jika pementasan besar dan melibatkan pelakon dan krew yang ramai. Adakala para pemain ini nampak baik semasa latihan tetapi gugup semasa persembahan dan melakukan kesilapan termasuk kesilapan-kesilapan besar yang mencacatkan persembahan.

Contoh kesilapan dalam pementasan Tanggang ini adalah riak wajah spontan Puteri Intan Baiduri (lakonan Watie Elite) yang terperanjat lantas sedih setelah mendengar titah Ayahandanya supaya Tanggang membawanya ketika belayar nanti. Bukankah sepatutnya dia menunjukkan wajah gembira dengan titah itu kerana dia dapat bersama-sama Tanggang berlayar dan tidak ditinggalkan bersendirian di daratan?

Satu lagi kesilapan besar adalah ketika Tanggang menghalau ibunya dan tidak mengaku perempuan tua itu sebagai ibunya. Patutkah semua sekelian yang ada patut rasa sedih pada babak itu? Saya faham dan boleh menerima jika ibunya, dua sahabat lama Tanggang dan kekasih lama Tanggang sahaja yang bersedih. Tetapi jika seluruh anak bahtera (termasuk Puteri Intan Baiduri) jugak sedih? Bukankah ini mencacatkan.

Kesilapan-kesilapan lain, salah seorang pengikut Alang Kalibang yang memakai selipar di atas pentas. Walaupun dia hanya sebagai korus, susuk tubuhnya diperhatikan. Dalam satu-satu persembahan, korus a.k.a 'pak pacak' sekalipun dianggap penting. Mereka juga harus sedar ruang dan sedar masa dimana dalam pementasan ini semua itu tidak dianggap penting. Kerana itulah ada adegan seperti terlanggar pokok besar, terpijak pisang, bersilat ditempat sempit, tersadung kaki orang depan dan macam-macam lagi.

Satu lagi kelemahan dalam teater ini adalah lontaran suara yang tak lepas dan suara tidak sampai kepada penonton. Mungkinkah ini kesilapan microfon?

Beralih pada prop dan set. Cantik dan halus pada lukisan. Tetapi semacam tak sesuai dengan pementasan. Bukan semua tetapi ada satu dua prop dan set yang tak sesuai. Cuba lebih kreatif dan jangan terikat dengan fatwa-fatwa bangsawan era Pak Rahman B (selaku penasihat pementasan)

Dan akhirnya Tanggang menjadi batu!

Rabu, Ogos 04, 2004

Dari Zaiton ke Tiin

Setelah merancang behari-hari dengan beberapa kawan, akhirnya baru tadi aku dapat tengok teater Demi Zaiton, itupun cuma seorang diri! Sampai ada yang tarik muka. Ahh.. biarlah, perempuan ni nanti-nanti baik le tu.. walaupun tak dipujuk!

Bila dah datang sorang, aku bebas duduk mana saja. Sambil tunggu persembahan bermula aku cuma dapat dapat menikmati satu pertiga keseluruhan ruang pentas. Ringkas. Cuma ada lapan tunggul tempat duduk di tengah ruang, satu bangku kayu di belah kanan serta tong sampah disebelahnya. Sambil tu belek-belek buku cenderamata. Bayu Utomo sebagai pereka setnya! Tumpuan kembali ke ruang pentas. Memang rasa tak sabar nak tengok hasil kerja Bayu kali ni selepas kagum dengan kreativitinya sebelum ini.. aku memang tak sabar nak tengok lebih-lebih lagi lepas dia baru kawin ni.haha. Bila tirai dah dibuka... kagum memang kagum.. memang teruja! Sebenarnya tak la gempak mana. Tapi hiasan gerbang dengan sayap dan matasatu itu mengagumkan aku betapa Bayu seorang pereka arca yang kreatif.

Tentang penceritaan teater ini memang dah menjadi trademark Cikgu Nordin Hassan sebagai penulis dan pengarahnya. Cerita nya distrukturkan dengan paduan (fusion) antara bahasa yang dilafazkan bersama apa yang tersirat, dan olahtubuh yang digerakkan bersama sub-teksnya. Cerita agak berat untuk dihayati kalau takde mood untuk berfikir atau semata-mata datang untuk berhibur. Jadi aku bukan orang yang layak untuk komen tentang cerita atau pengarahan.

Namun selain set, penataan cahaya lampu oleh Toemoe juga mengingatkan aku betapa berbakatnya tenaga muda ini. Cuma untuk beberapa babak dalam teater ini lampunya agak berterabur dan tidak fokus. Ini menyebabkan tumpuan penonton ke pentas juga terganggu. "Cikgu yang minta aku buat macam tu... biar nampak mengacau." Jelas Toemoe sejurus selepas show sewaktu aku bertanyakan hal ni.

Selain itu, mood aku untuk lebih menumpukan kepada pementasan seakan terbantut bila satu dua babak yang melibatkan korus membosankan. Gerak-gerak yang tidak banyak variasi dan mengambil masa yang lama membuatkan aku tahan menguap. (Kalau datang dengan member-member dah tentu aku tak segan silu menguap, tapi tadi aku diapit oleh dua orang awek yang ntah mana datangnya. Control le sekejap. haha.)

Dan akhirnya pementasan pun habis dengan penamat yang tiba-tiba.

Sewaktu melangkah keluar dari dewan, ada mamat ni bagi poster kat semua orang tentang show akan datang. Tapi bukan kat Auditorium DBKL tapi kat stor teater, DBP. Cerita 'Lembu' dan 'Matderihkolaperlih' oleh Nam'ron akan dipentaskan dari 7 ogos hingga 15 ogos jam 8.30 malam.

Alamak!! Lupa nak ambik nombor telephone awek tadi