Suatu hari, seorang budak lelaki yang tiada pekerjaan telah diminta oleh seorang Saudagar Arab untuk menghantar tempayan susunya ke suatu tempat. Sebagai upahnya, Saudagar Arab itu akan memberikan upah sebanyak tujuh dirham jika susu itu dapat sampai ke destinasi yang dikehendaki untuk dijadikan keju. Setelah menyanggupi, budak lelaki itu meletakkan tempayan susu itu di atas kepalanya dan mengatur langkah. Sewaktu berjalan dia berfikir "Aku akan menerima tujuh dirham. Apa yang akan aku lakukan dengan wang itu?"
Diceritakan juga zaman itu, harga barang adalah murah. Dengan tiga darham dapat membeli satu ekor unta. Lantas budak itu pun mendapat buah fikiran "Baik aku beli unta dengan duit ini, enam dirham untuk modal beli dua ekor anak unta dan satu darham untuk kos penjagaannya. Selepas beberapa bulan, tentu akan berganda... menjadi empat, lapan, enambelas dan berpuluh-puluh ekor! Dan aku akan jual unta itu untuk membeli pula kuda dan selepas itu aku akan ada ladang peternakan. Selepas itu aku juga akan memiliki ladang tamar. Semua itu akan aku niagakan dan akan dapat yang berjuta dirham dan riyal. Aku akan menjadi orang yang kaya. Barulah boleh kahwin dengan anak gadis yang paling cantik. Kalau ada orang yang mengusiknya... akan kulempang!" sambil budak lelaki itu menggayakan perbuatan dan hampir tertumpah susu itu. "Dan aku akan ada anak-anak yang comel belaka. Kalau ada orang yang hendak mengacau anakku... akan kutendang!" Sekali lagi dia menggayakan tendangannya itu. Dan akibatnya, susu tersebut tumpah setempayan semuanya.
Budak lelaki itupun menyesal dengan apa yang berlaku. Mahu tidak mahu dia terpaksa berpatah balik dan memberitahu kepada saudagar Arab tadi. Setelah diberitahu hal yang sebenar, Saudagar Arab itu menjadi sangat marah dan berkata "Engkau tahu, aku telah hilang seluruh pendapatanku minggu ini kerana kecuaian kamu ini!"
Balas budak lelaki itu, "Tuan hanya kehilangan pendapatan seminggu. Tapi, saya telah kehilangan unta, kuda, ladang tamar, isteri yang cantik dan anak-anak yang comel. Saya telah hilang kesemuanya, Tuan."
Ada ke patut?