Cikgu tadika aku kawin (lagi). Sebagai jiran dan bekas anak muridnya, aku pergi ke rumahnya untuk memeriahkan majlis. Cikgu Noor! Kami budak-budak lelaki sukakan Cikgu Noor sebab Cikgu Noor cantik. Budak-budak perempuan tak suka sangat dengan dia sebab Cikgu Noor garang dengan mereka.
Tengah ramai-ramai kat rumah Cikgu Noor, ada juga kawan sekolah aku dulu. Dia ni sepupu Cikgu Noor. Kawan sekolah aku ni datang dengan awek dia (agaknya!) Kami duduk semeja, makan lauk sehidang dan minum air sejag. Lepas makan kawan aku keluarkan rokok untuk dihisap. Dihulurkan kotak rokok itu kepada awek dia. Dan awek dia cucuh rokok sebatang. Awek dia pelawa aku pula untuk hisap. Tapi aku tolak.
"Member i dah berenti. Tapi kat sekolah dulu, dia yang ajar i hisap rokok ni." Kawan aku membuka cerita dan rahsia lama.
"Aku tak kisah anak murid aku melawan gurunya. Aku bukan mengajar silat" Aku membalas.
Dan awek dia terpinga-pinga tak faham. Kawan aku senyum je. Kami meneruskan ceritakan tentang perkembangan masing-masing sebab hampir tujuh lapan tahun tak jumpa.
Walaupun aku yang ajar kawan aku ni hisap rokok tapi sekarang dia yang maju dari aku. Tapi aku tak kisah. Macam Cikgu Noor juga. Dia cuma belajar sampai sekolah menengah saja. Tapi aku belajar sampai ijazah. Walaupun aku lebih banyak belajar dari dia tapi tanpa dia mana mungkin aku kenal ABC dan mengira 123.
Bagi aku, sesiapa pun, walaupun dia tu cikgu tadika ke, cikgu sekolah rendah ke, pensyarah universiti ke, kena juga belajar tentang mengajar sambil belajar. Maksudnya, selain mengajar kepada anak-anak muridnya dia juga harus belajar tentang anak-anak muridnya. Kelebihan orang lain-lain. Ada yang kita tahu tapi orang lain tak tahu, dan ada yang kita tak tahu orang lain tahu!
Sebab cikgu tak habis belajar la mereka ni asyik stress!