Motivasi ini untuk diri aku sendiri sebenarnya. Untuk sempurnakan dua-puluh rakaat solat terawih. Memang bila difikir-fikirkan dua-puluh rakaat itu amat banyak.
Jadi, bila dua-puluh rakaat itu banyak, kita anggapkan saja solat terawih itu sepuluh sahaja. Dan lupakan angka dua-puluh itu. Mengapa sepuluh? Ini adalah kerana kita akan duduk tahiyat dan memberi salam hanya sepuluh kali. Kerana itu kita fikirkan sepuluh sahaja.
Sepuluh itu masih banyak? Normal la tu kan. Takpe.. takpe.. kalau sepuluh itu banyak, kita fikirkan yang sebenarnya solat terawih itu lima sahaja. Dan lupakan angka sepuluh itu. Angka lima itu sebenarnya mewakili angka imam membacakan doa. Bayangkan bila saja bilal sebut "... khalifatus salis, amirul mukminin saidina Usman ibni Affan", anda sudah boleh bayangkan yang solat terawih anda tinggal satu sahaja. Atau dua tahiyat sahaja. Tapi sebenarnya ada empat rakaat lagi.
Mudah bukan? Jika pertengahan solat itu, anda masih merasakan masih banyak lagi doa, atau banyak lagi tahiyat, atau tentunya banyak lagi rakaat, ada cara lain untuk membantu anda sempurnakan dua-puluh rakaat terawih anda.
Salah satu caranya (yang aku sering amalkan) ialah tukar-tukarlah tempat solat anda. Contohnya begini. Anda mulakan solat terawih anda di saf yang belakang. Bila imam bacakan doa ke-dua, atau selepas tahiyat ke ke-empat atau rakaat yang ke-lapan, pasti ada yang tinggalkan saf dan balik ke rumah. Atau ada yang masih tunggu di luar sambil menghisap rokok sementara tunggu semua habis solat sebelum dapat makan moreh nanti.
Bila saf depan kosong, anda ganjaklah ke depan. Dan apabila sudah berada di saf baru, anggapkan yang anda baru hendak mulakan solat. Anggapkan yang anda baru memulakan rakaat pertama. Lupakan sudah berapa imam membaca doa, lupakan sudah berada anda tahiyat, dan lupa sudah berapa rakaat anda solat.
Bila sahaja anda terdetik dalam hati, "... bila nak habis ni?", maka perlulah anda berpindah ke tempat lain pula. Fikirkan semula seolah-olah anda baru memulakan rakaat pertama solat terawih anda.
Selesai lah sudah dua-puluh rakaat solat terawih itu. Tapi jangan lupa solat witir tiga rakaat pula. Tak kan dua-puluh boleh buat, tiga pula tak boleh?
P.S : ingat daku dalam doamu, lupakan daku dalam solat (terawih) mu