Rabu, Januari 23, 2008

JIBUNSYI : Anak Mamak 3

Sekarang ini giliran Faisal dan atta pula untuk makan tengahari dan solat zuhur. Oleh itu mami dan Kak Aisyah pula kembali bertugaskan untuk menjaga kedai.

Nasi dan lauk sudah dihidangkan di atas meja oleh kak Aisyah. tetapi atta memilih untuk solat zuhur dahulu sebelum menjamah makanan. Mahu tidak mahu, Faisal terpaksa akur untuk solat berjemaah dengan atta. Walaupun perutnya menahan kelaparan. Ini bekemungkinan disebabkan Faisal sudah biasa di asrama untuk menjamu makanan tengahari seawal jam 12.30 berbanding hari ini yang waktunya telah menunjuk jam 2.30 petang.

Selepas berehat solat zuhur dan makan tengahari, Faisal bersiap-siap untuk keluar bersama atta untuk membeli barang keperluan kedai yang sudah kekurangan stok.

Sebelum mereka menaiki van, atta sekali lagi meronda di dalam kedai untuk memeriksa apakah barang-barang lain yang belum ditulisnya tetapi perlu untuk dibeli.

"Atta, kicap manis ini sudah kekurangan stok. Atta sudah mencatitkannya?"

"Oh, belum lagi. Tak perasan pula tadi. Stok ini baru saja dibeli minggu lepas, tak sangka pula hari ini sudah berkurangan."

"Harganya sekarang RM 1.50?. Bukankah beberapa minggu lepas hanya dijual dengan harga RM 1.30 sahaja?"

Atta tidak segera menjawap soalan itu. Bagi atta, apa yang nak diherankan sangat. Biasalah barangan-barangan runcit seperti kicap, sos, tepung, susu, kacang tanah, beras pulut dan lain-lain akan mengalami berubahan harga yang tidak menentu. Kadang-kala berubahan itu tidak masuk akal dan bercanggah sama sekali dengan teori ekonomi dalam penentuan harga barang iaitu harga ditentukan oleh penawaran dari pembekal serta permintaan dari pengguna.

Destinasi yang pertama ialah Pemborong Ah Ming. Di kedai ini biasanya atta akan membeli air tin, air kotak, air botol, kelapa bulat, dan kadang-kala atta juga akan membeli gula-gula atau makanan kanak-kanak.

"Berapa awak bagi harga untuk sekaton air botol ini, tauke?"

"Biasa saya jual dua puluh empat. Tapi mamak punya pasal, saya jual dua puluh dua sahaja."

"Sudah naik sampai dua puluh empat kah? Tapi kenapa itu Khuat Chua boleh bagi saya dua puluh saja?"

Tak mungkin la. mungkin dia punya stok lama. sekarang sudah naik. Lain tempat sudah jual sampai dua puluh lima pun ada."

"Tak apalah. Saya beli dari Khuat Chua saja. Tauke, lain-lain barang awak kira. Saya bayar sekarang, nanti hantar ke kedai saya ya"

"Beginilah mamak. Saya beri awak harga dua puluh satu ringgit. Berapa katon awak mau? Tiga katon macam biasa?"

"Saya mahu empat katon tetapi harga dua puluh boleh tauke?"

"Oklah mamak. Saya kira dua puluh. Saya akan suruh pekerja saya hantar semua petang nanti ke kedai mamak. Terima kasih ya."

"Sama-sama"

Atta dan Faisal melangkah keluar dari kedai Tauke Ah Ming. Selepas itu, mereka menuju ke kedai lain pula. Beberapa barang lain masih belum dibeli mereka. termasuklah kicap manis yang sudah kekurangan stok itu.

Atta memandu ke arah kedai Khuat Chua. Sampai sahaja mereka di kedai tersebut, beberapa pekerja di kedai tersebut menyapa atta. Seperti biasa mereka akan bertanya khabar dan beberapa perkara secara ringkas. Tujuan mereka bukanlah kerana ingin berborak, tetapi sekadar ingin menunjukkan kemesraan kepada pelanggan mereka.

Itulah pesanan yang diajarkan oleh mendiang Khuat Chua kepada anak-anak dan pekerja-pekerjanya. Walaupun mendiang Khuat Chua sudah meninggal, anak-anaknya sentiasa mengingatkan pekerja-pekerja perkara yang sama.

Kedai Khuat Chua sekarang diterajui oleh anak bongsu beliau, Tang Boon dengan dibantu oleh isterinya, Diamond. Tang Boon masih mengekalkan nama kedainya dengan nama Khuat Chua kerana ayahnya adalah pengasas kepada kedai tersebut. Kerana itu, kadang kala dia sendiri dipanggil Khuat Chua.

Jarang dia menafikan bila orang memanggilnya Khuat Chua. Kerana itu masih ramai yang keliru tentang namanya. Faisal juga tidak tau sebelum ini. Hanya beberapa bulan lepas, barulah Faisal tau selepas diberitahu oleh atta.

"Beri saya kelapa bulat 100 biji. Pilih yang muda-muda ya," pesan atta kepada perkerja di kedai Khuat Chua.

"Baik mamak. Ada apa-apa barang lagi?"

"Tauke Tang dimana?"

"Tauke sudah keluar. Mamak mau tambah barang lagi?"

"Diamond pun tak ada? Mereka keluar sama-sama ya? Agak-agak pukul berapa dia balik?"

"Saya tak tau mamak. Dia tak pesan apa-apa semasa dia keluar. Mamak mahu apa lagi? Boleh saya ambil sekarang."

"Air botol ni," sambil atta menunjukkan pada susunan air botol yang disusun tinggi dengan diasingkan beberapa perisa. "Berapa harganya?"

"Satu katon, dua puluh empat ringgit."

"Tak boleh kurang?"

"Itu pun sudah dikurang harganya. Sekarang harga sudah naik. Mamak mahu berapa katon?"

"Tak apalah. Mahal sangat."

" Lain-lain barang mamak?"

"Kicap manis berapa?"

"Satu katon enam belas ringgit lapan puluh sen . Satu botol jatuh harga tujuh puluh sen. Mahu angkat satu?"

"Tak apa. Saja tanya. Stok di kedai masih ada." Mendengar kenyataan itu, Faisal dengan segera memandang tepat ke muka atta. Atta hanya memandang kembali tanpa ada respon apa-apa emosi.

"Ada barang apa lagi mamak?"

"Tak ada. Itu saja. Kira semua ya. Van saya ada di sana," tangan atta menunjukkan ke arah van manakala kaki melangkah ke kaunter untuk membuat pembayaran.

Sedangkan Faisal masih keliru. Keliru kerana bapanya berbohong tentang harga air botol di kedai tauke Ah Ming. Katanya kedai Khuat Chua ini menawarkan harga yang lebih murah, walhal harganya sama. Pembohongan lain ialah kenapa mengatakan stok kicap manis masih ada walaupun sebenarnya sudah hampir kehabisan.

Kekeliruan yang seterusnya ialah kenapa tidak beli kicap manis tersebut? Bukankah harganya murah? Apakah muslihat ini dibenarkan dalam perniagaan?

Persoalannya, bagaimanakah cara terbaik untuk Faisal bertanyakan kepada atta tentang perkara ini.

"Kenapa atta tak beli kicap manis di kedai Khuat Chua tadi?" Soal Faisal untuk memulakan kekeliruannya. Dia tidak boleh terus menerus bertanyakan soalan-soalan yang sensitif.

"Antara petua untuk membeli barang ialah jangan terikat dengan satu pemborong atau pengedar saja," atta memulakan penerangan. Faisal hanya mendengar dengan semandang muka atta, walaupun atta memandang ke jalanraya. Dia hanya harus mendengar penjelasan atta satu persatu walaupun soalannya masih belum dijawap.

"Kalau kita terikat pada satu pengedar sahaja, menyebabkan mereka memonopoli perniagaan kita. Mereka akan meletakkan atau menentukan harga sesusuatu barang itu sesuka hati mereka..Sebagai contoh, sepatutnya harga sesuatu barang itu naik hanya dua puluh sen. Tetapi disebabkan kita tiada alternatif lain kerana terikat dengan satu pengedar sahaja, maka dengan sesuka hati pengedar itu menaikan harga sehingga tujuh atau lapan puluh sen." Atta menerangkan dengan panjang lebar.

"Memang selalu Tauke Tang Boon beri diskaun lebih dari Tauke Ah Ming?" Soal Faisal lagi untuk kepastiaan.

"Kadang-kadang. Tapi selalunya tidak." Dengan nada keras Atta mengucapkan perkatakan 'tidak' itu.

Sekarang mereka sudah sampai di kedai Pakcik Rafi. Atta sudahpun memakir van di tempat yg sediakan. Memanglah agak jauh kerana ramai yang akan berkunjung ke kedai pakcik Rafi ini kerana kedai dibahagi kepada dua bahagian iaitu barangan basah dan barangan kering.

Yang paling ramai yang berkunjung ke kedai Pakcik Rafi ialah mereka-mereka yang ingin membeli barangan basah kerana pakcik Rafi menawarkan sayuran dan ikan-ikan yang segar.

"Di sini, kita akan beli kicap manis tersebut," kata atta sambil melangkah masuk ke bahagian barangan kering di kedai Pakcik Rafi.

Setelah hampir setengah jam di bahagian barangan kering, atta mengambil masa empat puluh minit di bahagian barangan basah pula.Sayur-sayuran, ikan dan daging yang dibeli di kedai pakcik Rafi tidaklah semuanya akan dijual semula tetapi termasuk juga untuk kegunaan sendiri.

Selepas membuat pembayaran. Atta dan Faisal keluar menuju ke van dengan menyorong troli yang berisi barang-barang yang dibeli di kedai pakcik Rafi termasuklah kicap manis.

Selepas menunggah dan menyusun barang-barang di dalam van, mereka menuju pulang ke rumah. Di dalam van, atta memulakan semula perbualan. "Satu lagi petua, atau sebenarnya magis.Tak semua barang yang kta mahu beli, dibeli dengan harga yang lebih murah. Ada ketikanya kita akan beli dengan harga yang lebih tinggi."

"Kenapa pula beli dengan harga yang lebih mahal? Bukankah kalau beli dengan harga yang tinggi, akan merendahkan margin." Tanya Faisal kehairanan. Mungkin atta hanya bergurau. Tetapi kalau betul, apakah magisnya?

"Sebenarnya perkara ni bukan semestinya berlaku. Tapi hanya kadang-kadang. Tapi kadang-kadang itulah magisnya." Atta berkata sambil mengukirkan senyuman.

"Contohnya seperti kicap manis yang kita beli di sini tadi. Kita beli dengan harga seringgit sebotol. Walaupun di kedai Khuat Chua tadi mereka menawarkan harga tujuh puluh sen sebotol. Dengan harga seringgit ini kita menjualnya dengan harga RM 1.50 dan dulu atta jual dengan harga RM 1.30 sebab beli dari Khuat Chua dengan harga tujuh puluh sen. Secara logiknya, pelanggan-pelanggan kita akan membeli kicap manis yang berharga RM 1.30. Tetapi yang magisnya, pelanggan kita lebih ramai membeli dengan harga yang lebih mahal. Maknannya kita lebih untung kalau jual RM 1.50 kerana kuantiti yang lebih."

"Selalu ke berlaku? Soal Faisal separuh kehairanan. Benarkah perkara ini benar-benar laku? Fikirnya lagi, kalau tidak masakan atta sanggup berbuat demikian?

"Tak juga. Biasanya ikut gerak hati."

Selepas tiada lagi perbualan antara mereka selepas itu. Atta tumpukan perhatian terhadap pemanduan. Faisal pula mengelamun. Entah dia masih fikirkan tentang magis itu. Atau fikiran melayang tentang perkara lain. Masing-masing buat hal masing-masing sehinggalah mereka tiba di kedai.

Khamis, Januari 17, 2008

Pelik juga lah..

Pagi tadi sewaktu mendengar berita pagi, ada mengatakan bahawa semua permohonan untuk lepasan SPM 2007 hanya diproses secara online.

Aku terfikir, apakah semua rakyat Malaysia boleh akses internet? Termasuk yang dalam kampung-kampung dan pendalaman. Apakah mereka tidak mengambil SPM tahun lepas? Tapi apa yang nak diherankan. Kita di Malaysia memang suka benda-benda pelik, kan?

Antara benda-benda pelik, (terlalu banyak, aku aku listkan yang isunya kecil-kecil saja. Isu besar biarlah orang lain yg fikirkan.)

1. Jangan hisap rokok di stesen minyak, walau anda boleh beli di stesen minyak.

2. Jangan memandu laju di lebuhraya, tapi jangan ada berada di lebuhraya lebih tapi 10 jam. (ingatkah anda isu ini? isu yang berkaitan pemandu-pemandu lori dan trailer yang berada lama di lebuhraya kerana mahu menipu tol.)

3. Dilarang menunggang motorsikal di Kuala Lumpur untuk mengelakkan kesesakan, padahal kereta yang menyesakkan. Menunggang motorsikal adalah alternative kepada kesesakan tersebut.

4. ....

Jumaat, Januari 11, 2008

DRAMA SEBABAK : Fragmen - Babak 6 - Perang yang satu lagi

Jaafar : Terlalu banyak perang di sana sini.

Seth : Memang kita sentiasa berperang

Jaafar : Nasib baik di Malaysia kita tidak berperang.

Seth : Memang kita sentasa berperang. Di mana-mana sahaja.

Jaafar : Kebangkitan Islam telah tercetus di mana-mana. Di Afganistan, Philiphina, Indonesia, Rusia.

Seth : Kita juga sedang berperang.

Jaafar : Ya. Kita sedang berperang dengan polis, trafik, penguasa-penguasa lain. Kompaun itu, kompaun ini, saman itu, saman ini, denda itu, denda ini.

Seth : Itu hanya strategi-strategi peperangan.

Jaafar : Iya lah. Kita sedang berperang dengan kerajaan yang tenteranya ialah polis.

Seth : Bukan itu. Bukan itu yang kita perangi.

Jaafar : Habis dengan siapa kita perangi? Di Malaysia ini aman saja. Sejak dulu lagi. Kita tidak berperang.

Seth : Kita berperang sejak dulu lagi.

Jaafar : Apa?

Seth : Pesanan Baginda selepas perang Badar.

Isnin, Januari 07, 2008

DRAMA DUA BABAK : Masihkah tersisa sup daging qurban?

Babak Satu - Langit
Ianya berwarna putih. Namanya awan. Air yang berkumpul di udara setelah disejat di persekitaran langit.

Babak Dua - Lelangit
Ianya berwarna putih. Namanya kerak (atau ada nama lain yang lebih tepat?). Lemak yang berkumpul di mulut setelah dibeku di persekitaran lelangit.