Rabu, Ogos 27, 2008

TEATER : menunggu 2 jam yang dimaksudkan

Persoalan mengapa, siapa, bagaimana dan bila Sultan Alauddin syahid (dan kenapa syahid, bukan mati?) diracun tidak disampaikan dengan secara penuh efektif kepada penonton yang menonton pementasan teater 'Dua Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun', di Auditorium Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya semalam.

Perkara-perkara penting yang sepatutnya menjadi tujuan pementasan ini diadakan tidak disampaikan secara jelas melainkan secara syarahan semata-mata. Saya fikir, ini bukanlah kerana naskah. Tetapi kelemahan pengarahan dan lakonan yang tidak diatur tempo termasuk atikulasi pelakon-pelakon.

Ini menyebabkan naskah terbaru Faisal Tehrani ini mengikuti nasib naskah-naskah yang lain seperti Rintih Chicago dan Angin Madinah yang mendapat pengikhtiraf dari segi naskah tapi tidak berjaya, termasuk memberikan kepuasan kepada penonton.

Satu-satunya naskah Faisal yang berjaya, bagi pengamatan saya, hanya Misi yang ditangani oleh Namron dengan begitu cemerlang sekali.

Berbalik kepada pementasan 'Dua Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun', saya kira persembahan hanya bermula ketikamana pengarah Dr. Abu Hassan Hasbullah naik ke pentas untuk memberikan arahan kepada pelakon-pelakon. Satu jam lebih sebelum itu adalah sia-sia dan amat membosankan. Mungkin inilah 'akibat' dari genre yang diasaskan oleh Augusto Boal itu.

Menurut Faisal, teater ini menyajikan tiga lapis teks, tetapi lapisan pertama tentang persiapan sebelum persembahan (babak dalam dressing room) tidak disampaikan dengan baik, jadi bagaimana nak membantu penonton mendapat lapisan ketiga yang memerlukan 'renungan' itu.

Bagaimanapun, tahniah kepada Akademi Sinema Amatur Malaysia kerana masih dikira berjaya mempersembahan teater Islami di tengah-tengah iklam politik Malaysia yang aneh dan semangat hari kemerdekaan. Diharapkan selepas ini kita (baca : khalayak teater) dapat menonton lebih banyak teater-teater Islami yang bermutu.

Untuk teater ini saya beri tujuh bintang! Tujuh dari duapuluh-satu bintang penuh.

Jumaat, Ogos 15, 2008

RBM di Australia

Cik Intan beli buku Rahsia Bisnes Mamak dari aku untuk hadiahkan kepada boss tempat dia bekerja di Australia.

Nama perniagaannya adalah Swinging Bowl Satay. 'Satey Mangkuk Hayun?' Kreatifnya....


Diharapkan dengan hadiah yang diberikan oleh Cik Intan ni, dapat digunakan oleh En Azam, pemilik restoren halal di Australia itu, sebaik mungkin. Agar menjadikan perniagaannya itu maju dan semakin maju melalui tips-tips yang diberikan dalam buku tersebut.

Rabu, Ogos 13, 2008

DRAMA DUA BABAK : Parti keluarga

Babak satu : Kosongkan Permatang Pauh
"Kalau nak buktikan kasih sayang pada suami, bukanlah dengan berikan kerusi yang diamanahkan oleh rakyat. Ini bukanlah parti keluarga."

Babak dua : Kosongkan Kulim, Bandar Tun Razak, atau lain-lain
"Kenapa kerusi lain yang perlukan dikosongkan? Isteri sudah di Permatang Pauh, anak sudah di Lembah Pantai. Takkan suami nak kan kerusi yang lain pula. Ini bukanlah parti keluarga."