Jumaat, Februari 19, 2010

Padah

Asyik-asyik mesyuarat tapi muafakatan masih belum dapat diputuskan. Kadang-kadang sesuatu yang sudah dipersetujui dalam mesyuarat dan telahpun diminitkan, tetap menjadi pertikaian di luar mesyuarat termasuk dari mereka yang telah hadir sendiri dalam mesyuarat.

"Waktu dalam mesyuarat angguk. Bila orang angkat tangan tanda setuju, dia pun angkat tangan juga. Tapi bila dah habis mesyuarat baru nak menyalak"

Nak kumpul semua orang bukannya mudah. Dan memanglah semua orang pun sibuk dengan hal masing-masing. Kalau dah datang mesyuarat mesti nak balik awal kononnya ada hal lain. Sudah lah datang lambat sampai orang tertunggu-tunggu.

Dalam mesyuarat, pengerusi baru membentangkan minit mesyuarat yang lalu. Agenda untuk pembentangan program akan datang belum dibincangkan, Si Samdol ni sudah minta diri untuk pulang awal kerana ada urusan lain. Sebelum keluar dari bilik mesyuarat, sambil berdiri Si Samdol ni berkata, "Minta maaf Tuan Pengerusi, saya terpaksa minta diri kerana ada urusan lain."

Sebelum melangkah keluar dari bilik mesyuarat, di pintu bilik Si Samdol ni bernambah, "Segala keputusan dalam mesyuarat ni saya setuju." Dia tidak lupa senyum kepada semua ahli mesyuarat kerana semua mata tertumpu ke arahnya.

Perjalanan mesyuarat sudah sampai ke kemuncak. Agenda untuk program akan datang telah dibentangkan oleh Tuan Pengerusi.

"Siapa yang di kalangan kita sesuai untuk mengepalai program ini? Kalau boleh biarlah orang lain yang belum pernah menjadi pengarah program. Belajarlah sementara ada orang-orang lain boleh bantu"

"Saya cadangkan Si Samdol yang jadi pengarah program."

"Mahukah dia?"

Ahli-ahli mesyuarat yang lain berbisik sesama sendiri.

"Bukankah dia sendiri setuju dengan apa saja keputusan mesyuarat?"

Betul juga, fikir yang lain-lain. Bisik-berbisik bertambah rancak. Ramai juga yang angguk tanda setuju.

"Baiklah. Siapa setuju angkat tangan"

Tidak ada seorangpun yang tidak angkat tangan tanda tidak setuju.

"Bagus. Dengan ini sebulat suara mesyuarat telah melantik Si Samdol untuk mengepalai program akan datang yang bakal dihadiri oleh YB dan bekas YB seperti yang pernah kita sarankan dulu."

Tidak tunggu lama, Tuan Pengerusi hubungi Si Samdol untuk maklumkan keputusan mesyuarat tersebut.

Selasa, Februari 09, 2010

Banker to the Poor: Micro-lending and the Battle Against Poverty

Siapa Penulis? Muhammad Yunus, pemenang anugerah Nobel Peace Prize 2006. Beliau adalah pengasas Grameen Bank, sebuah institusi kewangan mikro (micro-credit), berpangkalan di Bangladesh.

Apa yang ditulis?
Buku ini adalah sebuah autobiografi mencatatkan perjalanan hidup penulis dalam hidupnya yang bermula sebagai seorang akademia, dan hampir saja secara kebetulan berkecimpung dalam arena perbankan dan kewangan mikro, dengan nawaitu untuk menaiktaraf kehidupan nusa bangsa rakyat Bangladesh.

Kewangan mikro secara amnya bertujuan memberi kemudahan kewangan dalam jumlah yang kecil dan tertumpu kepada golongan yang miskin, berdasarkan prinsipnya "Credit is the right of every human being". Pinjaman sekecil USD 10 diberikan supaya peminjam dapat keluar daripada kepompong kemiskinan dengan perusahaan/perniagaan kecil-kecilan. "Modus operandi" yang sangat berlainan daripada perbankan konvensional menjadi tunjang kejayaan Grameen Bank, baik dari segi mencapai objektif sosial mahupun objektif perniagaan. Lebih 90% pemilik Grameen Bank adalah terdiri daripada para peminjam.

Walaupun Grameen Bank mendapat tentangan hebat daripada "bankers" konvensional di awal penubuhannya, ia kini sedang berkembang pesat, dengan pinjaman setakat Disember 2009 berjumlah USD 790 juta .


Anggaran bilangan perjalanan LRT yang dapat dimanfaatkan dengan membaca buku ini (dari Kelana Jaya ke KLCC): 29 perjalanan ("trips")


Apa yang saya dapat membaca buku ini?

1. Kredit mikro bukanlah suatu angan-angan. Dan tidak mustahil aplikasi falsafah kewangan mikro akan menggantikan kewangan konvensional (dan kewangan Islam?) yang berpaksikan keuntungan yang melampau.

2. "What your mind can conceive and believe, it can achieve" dan sentiasa berani mencuba sesuatu yang baru, bertunjangkan anjakan paradigma dan "thinking outside of the box".


3. Niat yang jujur dan ikhlas akan sentiasa membuahkan kejayaan

Fakta menarik tentang Grameen Bank di sini

Sabtu, Februari 06, 2010

DRAMA SEBABAK : Tunang

Aku : Kak Dewi ada?
Fariq : Dia tengah 'bertunang'
Aku : Apa?
Fariq : Tunggu kejap. Dia tengah 'bertunang'.

Aku masih keliru.

Fariq : Ok. Sekarang dah boleh jumpa dia.
Aku : Bertunang?
Fariq : Dia engage di talian tadi.
Aku : Ooo