Rabu, September 23, 2009

DRAMA DUA BABAK : Salah makan

Babak Satu : Awal Ramadhan

"Alamak aku termakan sedangkan aku sebenarnya berpuasa"


Babak Dua : Awal Syawal

"Kenapa aku tak lupa nak makan sedangkan time time ni sebulan lepas aku tak makan?"

Khamis, September 17, 2009

Bayar hutang

Beberapa bulan yang lepas, Wa'idz kerap sakit-sakit. Bermula dengan Roseola, beraknya kadang-kadang cirit-birit dan kadang-kadang sembelit.

Sudah kerap berjumpa dengan doktor tetapi doktor memberikan banyak andaian. Banyak andaian kerana kami membawa Wa'idz ke beberapa klinik yang berbeza dan hujah doktor juga berbeza. Cuma doktor yang terakhir, aku dan isteri berpuas hati dengan penjelasannya. Dan satu-satunya klinik yang kami pergi tidak memberikan kami ubat! Terima kasih Dr. Yusri - seorang doktor India Muslim.

Sebenarnya sebelum berjumpa dengan Dr Yusri, bapa mertua aku ada bertanyakan tentang ibadah akikah Wa'idz yang aku hutang seekor lagi.

Sewaktu Ummi Wa'idz baru saja habis berpantang di kampung, kami mengadakan kenduri akikah di Kuantan. Ketika itu, hanya seekor yang disembelih kerana hajat kami biarlah seekor di kampung dan seekor di rumah. Maknanya kedua-dua datuk dan nenek Wa'idz dapat merasa daging akikah tersebut.

Akan tetapi selepas lapan bulan, hutang seekor lagi kambing akikah belum disembelihkan di atas nama Wa'idz. Namun selepas ditegur oleh Bapa mertua, aku lekas-lekas tidak mahu menangguhnya lagi. Setelah berbincang dengan Mak dan Atta, kami bersetuju untuk membeli kambing akikah tersebut dan diberikan kepada surau untuk menguruskan urusan penyediaan makanan. Dan waktu paling baik adalah semalam - sempena malam tujuh likur & majlis khatam al-qur'an.

Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar walaupun Nasi Mandy Kambing hanya siap untuk dimakan kira-kira lima minit sebelum maghrib! Dapat juga Ayahlong dan keluarga merasainya.

Malam sebelum tidur aku terfikir, hutang akikah sudah selesai, alhamdulilLah. Dan hendaknya Wa'idz tidak sakit-sakit lagi malah kami sekeluarga sihat wal afiat hendaknya. Dan yang paling penting, harap-harap Wa'idz akan dapat adik secepat mungkin selepas ini, insyaAllah.

Rabu, September 02, 2009

Nostalgia Bas Mini

Aku dah lupa bila kali terakhir aku naik bas dalam bandar.

Dan petang semalam adalah kali pertama sejak sekian lama. Mungkin (mana mungkin sebenarnya) sebab dah lama sangat aku tak naik bas, kondaktor bas Metro yang aku naik petang semalam tidak meminta duit tambang dari aku.

Zaman aku budak-budak dulu - sewaktu zaman bas mini - aku juga selalu naik bas free. Sejak dari sekolah rendah lagi, mak bapak aku dah benarkan kami - anak-anaknya dan kawan-kawan - naik bas sendiri. Kalau budak zaman sekarang sudah tentu tidak! Biasanya aku, arwah adik & kawan-kawan naik bas ke Perpustakaan Negara (sebelum di Jln Tun Razak, national library terletak di Jln Raja Laut), Stadium Merdeka (balik hingga lewat malam pun tak risau sebab bas mini tak ikut time).

Selain tu, yang paling best pasal bas mini adalah cepat! Mereka akan celah mencelah untuk 'mencuri' penumpang. Bayarannya fixed. Seingat aku, last sekali tambangnya ialah enampuluh sen.

Tapi semalam, aku tak sempat berbuka di rumah kerana bas lambat. Sudahlah jalan sesak, pemandu bas pula akan berhenti lama di bus stop menunggu penumpang. Alangkah bagusnya kalau ada bas mini, kan? Tidaklah aku berbuka puasa jam 7.40 malam.

Ataupun itulah akibatnya aku buat-buat dah bayar walaupun sebenarnya belum bayar?

Khamis, Ogos 27, 2009

DRAMA SEBABAK : Puasa

Emi : Cindy, cuba you puasa.
Cindy : Tak boleh la
Emi : Kenapa?
Cindy : I period!

Isnin, Ogos 24, 2009

BELASUNGKAWA : Nurul Asyikin Binti Aminah

Semalam, bertambah satu lagi pengalaman aku pengkebumian dalam bulan Ramadhan. Sebelum ini - Pak Lang di Sg Petani, Makcik Aisyah di Jln Kelang Lama dan lain-lain.

Semalam aku berada di Paya Bungor, Kuantan kerana berjumpa dengan Mak dan Ayah Mertua. Selepas mendapat panggilan dari Paeng dan SMS dari Amir, yang membawa berita kemalangan yang menimpa Kamal Adam dan (arwah) isterinya Syikin. Mula-mula aku perasan miss call dari Paeng jam tiga pagi, tetapi Paeng call semula ketika kami bersahur.

Kamal dan (arwah) isteri ditimpa kemalangan ketika pulang ke kampung Syikin di Pekan kerana ingin berjumpa dengan puteri kesayangan mereka. Anak mereka ditinggalkan di kampung sejak beberapa minggu lepas dan pastinya kerinduan mereka untuk melihat anak mereka tidak kepalang. Lebih-lebih lagi kerinduan seorang ibu! Tapi apakan daya, ALLAH tentunya ada percaturan sendiri.

Selepas menunaikan solat subuh, aku dan adik iparku - Arif, memandu ke Hospital Jengka kerana menurut Paeng, Kamal & (arwah) isterinya berada di sana. Tetapi belumpun sampai di Hospital - kira-kira 100 meter ke persimpangan Chenor/Jengka, Paeng call lagi untuk beritahu yang mereka sudah dibawakan ke Pekan.

Aku patah balik tapi kali ini tidak melalui jalan bertol. Dan, aku dan Arif tidak terus ke Pekan tetapi singgah dulu di rumah.

Kira-kira jam 9.40 aku dan Arif menuju ke Taman LPNP, Pekan untuk berjumpa dengan Kamal dan keluarga. Jenazah masih berada di rumah dan sedang disiapkan untuk membawanya ke tanah perkuburan - Kg Langgar, Pekan. Aku juga sempat mengambil bahagian untuk menyangkul tanah. Walaupun tengahari di bulan Ramadhan, kali ini tidak tersiksa dek bahang matahari, tidak seperti pengalaman ketika pengkebumian arwah Pak Lang di Sg Petani dua tahun lepas.

Dalam kemalangan ini, Kamal hanya mengalami patah tangan.

Oh ya. Kamal adalah antara kawan aku yang rapat sejak dari sekolah menengah dulu. Banyak kenangan aku bersamanya - tidak hanya di asrama tetapi hubungan kami tidak pernah putus sehingga kini walaupun kami menyambung belajar di tempat lain dan bekerja di tempat lain.

Arwah Syikin, aku tak ingat bilakah mula-mula kami berkenalan dulu. Rasanya di UiTM ketika mereka sama-sama mengambil ACCA.

Tetapi aku paling ingat kali terakhir kami berjumpa! Iaitu pada pagi Ahad 9 Ogos di Gelanggang Futsal Sport Planet, Subang. Ketika itu kami - aku, Kamal dan yang lain-lain menyertai pertandingan Futsal antara batch anjuran Peramah - Alumni SMKA Maahad Hamidiah, Kajang.

Kamal dan Syikin hanya datang berdua kerana anak mereka (aku tak ingat nama anak mereka tetapi dipanggai 'Ecah') ditinggalkan di kampung mereka di Pekan. Kali terakhir aku berjumpa dengan Ecah adalah ketika kenduri akikah Ecah di PJ. Ketika itu Syikin masih dalam pantang dan kerana itu isteriku tidak pernah berjumpa dengannya.

Sebelum balik dari pertandingan tersebut, aku dan Syikin sempat berborak-borak sambil merujuk buku yang dipegangnya (Syikin membaca buku tersebut sementara menunggu suaminya bermain futsal). Antara perkara yang diborakkan adalah mengenai buku yang aku tulis bersama Zamri Mohammad, mengenai internet marketing, bisnes training dan software untuk Foreign Exchange (Forex). Dan dia ada meminta nombor telepon Zamri, tapi aku tak sure Arwah Syikin ada hubungi Zamri atau tidak.

Tak sangka rupanya itulah kali terakhir kami berjumpa. Semoga rohnya diabadikan dikalangan orang-orang yang beriman.

Diharapkan Kamal dan keluarga Syikin tabah menghadapi dugaan ini.


Al-fatihah

Jumaat, Ogos 21, 2009

TEATER : Persembahan Berdasarkan Hadis

Setahu saya persembahan teater Kopitiam Ghadir (KG) oleh Faisal Tehrani yang lepas adalah persembahan kedua yang membongkar dan mempersembahkan berdasarkan hadis nabi secara serius.

Yang pertama dulu adalah teater karya Dinsman - Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT) - persembahan lakonsemula hadis yang diriwayatkan oleh Ka'ab Bin Malik yang menunggu jawapan dari Allah tentang taubatnya akibat tidak mengerjakan jihad Perang Tabuk tanpa uzur.

Kedua-dua teater ini mengundang ramai para ustaz dan ustazah untuk menontonnya. Malah rata-rata dari mereka yang hadir menonton adalah pertama kali menonton teater.

Saya percaya sebelum ini sudah banyak lagi teater yang premisnya berdasarkan hadis malah juga yang membuat simulasi bedasarkan al-qur'an dalam karya-karya mereka. Bagaimanapun saya percaya dua teater ini - KG & MKDT adalah teater yang lebih serius membongkar dan dipersembahkan secara didaktik (yakni "berniat untuk mengajar") dan jelas menyatakan matan dan periwayat-periwayat hadis yang menjadi isi persembahan.

Beza antara keduanya adalah MKDT digerakkan secara lakonsemula matan hadis yang panjang (paling panjang menurut pengarah dan penulis - Dinsman) serta sedikit rekonstraksi. Sedangkan dalam KG, pemain-pemain membaca (sekurang-kurang empat) hadis-hadis yang berkaitan dengan Ghadir al-Khumm secara penuh syarah umpama kita berada di dalam kuliah-kuliah agama.

Persembahan secara syarah ini bukanlah yang pertama dari Faisal kerana tahun lepas - juga dipersembahkan dalam bulan ogos - bulan kemerdekaan - karyanya 'Dua Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun' (DJSSASD) dan novelet 'Tuhan Manusia' juga dipersembahkan secara syarah sehingga mengundang rasa bosan kerana bebelan dari para pemain.

Tetapi dalam KG kali ini tidak sama sekali. Walaupun tetap dengan mazhab didaktiknya, KG adalah berbeza. Mujur saya tidak serik menonton DJSSASD kerana GK dipersembahkan dengan penuh sinis dan hibur. Tidak rugi menontonnya! Menontonlah kerana GK akan dipentaskan lagi.

Semoga kita mendapat manfaat & berkat dari apa yang kita tonton, dan semoga mereka - Pemuda Revolusi Pembudayaan Selawat - mendapat manfaatkan & rahmat dari apa yang mereka persembahkan.

Selasa, Ogos 18, 2009

DARI DALAM DIRI : Kembali

Entah tiba-tiba aku rasa yang aku perlu kembali.