Khamis, Januari 20, 2011

DARI DALAM DIRI : Botak kepala, pecah kelapa

Antara kesalahan sosial yang aku lakukan adalah membotakkan kepala pada waktu yang sangat hampir dengan perayaan Thaipusam!

Memang sejak dari kecil, sampai satu-satu masa aku akan membotakkan kepala. Biasanya aku akan botakkan kepala apabila fikiran sudah serabut dan buntu. Aku botakkan kepala tidak sampai tahap mencukur tetapi sekadar potongan paling pendek persis askar yang baru direkrut.

Pada suatu petang ketika aku dalam tingkatan satu, aku membotakkan kepala beberapa hari sebelum perayaan Thaipusam pada tahun itu. Dan sangat memberikan kesan emosi yang teruk kepadaku.

"Belum hari Thaipusam kau dah botak dah?"
"Berapa banyak kelapa yang kau pecahkan?"
"Berat tak kavadi?"
"Kau pun cucuk-cucuk juga? Sakit tak?"

Semua soalan-soalan diatas adalah soalan sinis kerana mereka semua tau yang aku beragama Islam!

Jadi sejak itu, sebelum aku botakkan kepala, aku akan pastikan tarikh perayaan Thaipusam adalah jauh sekurang-kurangnya dua bulan.

Namun selepas itu, kesan emosi yang lain pula yang aku terima. Dan kali ini aku pula yang mengharapkan ia menjadi kenyataan dan aku benar-benar impikannya.

"Bila kau balik dari umrah? Tak tau pun"

Khamis, Disember 23, 2010

Pandir dan Kaduk

Bukan saja tempang malah bergoyang...
mahu tumbang.

Bukan saja hanyir malah berlendir..
macam gampang.

Bergoyang biar bergoyang
namun ada susuk bodoh dungu dan dangkal datang bertuhan...
bergantung dan mengharap.

Biar hanyir biar berlendir,
namun ada yang tetap datang menjilat lahap..

Tidak cukupkah Pandir dan Kaduk
sebagai lambang kebodohan umat itu?

Pilihan di Persimpangan

Pernahkah sampai di persimpangan?
Tidak punya petunjuk jalan,
peta pula tiada di tangan,
tapi harus ada keputusan.

Mula gunakan akal fikiran
Terkadang hati dijadikan sandaran
Datang kenalan dengan hasutan
Entahkan kawan ataupun bukan?

Bila terlajak tak berguna penyesalan
Kalau tersilap jadikan pengajaran
Hanya Tawakkal jadi pegangan
Minta terbuka dan dimudahkan laluan

Jumaat, Disember 17, 2010

Penentangan Sang Orang yang Diserang

Sepanjang jauhnya perjalanan ini
Semakin jauh aku tinggalkan sunyi
Semakin hampir aku dengan bingit
Pekik dan teriak orang yang diserang

Dari kejauhan aku berdiri
Memerhati gerak-geri cuba memahami
Biarpun aku sedar badan ini kerdil
Nekad tidak toleh ke belakang

Dalam hiruk-pikuk dan kebingungan
Aku cuba hulurkan tangan
Ingin mencapai tangan-tangan yang menggapai
Selangkah ku ke depan semakin tak sampai

Orang yang diserang semakin longlai
Teriak dan bingit hanya sayup kedengaran
Aku hanya mampu memerhati
Darah yang likat membasahi diri

Tidak sekali tamat perjuangan
Dan ini bukan penentu keputusan
Orang yang diserang sudah mati, badan terkujur
Namun perjuangan kan terus hidup, hidup, dan hidup...

Rabu, November 10, 2010

City Island

Dalam kecelaruan, kebingungan dan kebingitan hidup, pasti ada ketenangan dan kesudahan yang menyenangkan. Barangkali itulah yang cuba disampaikan oleh pengarah dan penulis Raymond de Felitta dalam naskhah City Island, sebuah filem komedi kekeluargaan.

Filem ini berkisar tentang sebuah keluarga kacau-bilau (dysfunctional family) yang sekian lama hidup dalam penipuan, melalui satu keadaan di mana semuanya akan terbongkar. Si bapa, Vincent Rizzo (lakonan 5 bintang oleh Andy Garcia), seorang pegawai penjara sentiasa keluar pada malam hari, dalam cemburu Joyce si isteri (lakonan juliana marguilles) yang begitu yakin si suami bermain kayu tiga. Padahal Vince yang idolanya ialah Marlon Brando, berulang alik ke kelas lakonan kerana mengimpikan menjadi pelakon. Anak perempuan sulung pula yang dianggap pulang bercuti daripada kolej, sebenarnya sudah lama bekerja sebagai penari bogel di kelab malam berdekatan, kerana dibuang daripada kolej. Anak lelaki pula yang mempunyai fetish kepada wanita berbadan besar, tidak putus-putus mengikuti setiap perkembangan laman web seorang wanita berbadan besar, yang rupa-rupanya jiran sebelah!

Bagaikan nasi berlauk yang pelbagai ditambah kicap, Tony muncul penyedap rasa. Seorang tahanan penjara di mana Vince bertugas, Tony yang dalam parol diambil Vince untuk tinggal bertukang dirumahnya. Vince yang tahu Tony adalah anak kandungnya dalam hubungan terdahulu menyimpan rahsia tersebut sendirian. Tony pula dalam masa yang sama bagaikan server pangkalan data (database), tempat semua ahli keluarga menyimpan rahsia.

Maka dalam hiruk-pikuk timbullah 1001 macam karenah yang diulit dalam komedi. Tiada komedi slapstik di sini, semuanya berdasarkan kekuatan skrip dan juga keberkesanan watak yang dilakonkan dengan jayanya, terutama sekali Andy Garcia.

Berlatar-belakangkan City Island, sebuah pekan nelayan di Bronx, filem ini mengingatkan saya kepada Little Miss Sunshine, tapi lebih baik daripada itu.

Kesudahannya? Saksikan sendiri!

Khamis, Oktober 28, 2010

"... well groom to be PM"

Semasa mula-mula Tun Abdullah Ahmad Badawi dilantik sebagai Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Perlantikan Dato' Seri Najib itu disepakati oleh ramai pihak kerana "... he well groom to be Prime Minister" (sedangkan baru dilantik sebagai timbalan).

Tetapi sekarang ini, dengan pelbagai perkara seperti lesen judi Piala Dunia, bangunan 100 tingkat Warisan Merdeka dan terbaru hub hiburan, keadaan ini sangat membimbangkan.

Saya tertanya-tanya siapa pula selepas ini dan apa pula yang akan direncanakannya?