Siapa yang tak tau tentang cerita Si Tanggang, anak yang menderhaka pada ibunya. Dengar sahaja tajuknya, penonton sudah tahu penghujungnya. Tanggang disumpah menjadi batu akibat menderhaka pada ibu kandungnya. Mak Utih. Disebabkan pementasan ini bangsawan, maka jalan cerita tidak boleh diubah-ubah.
Kerana itu juga, akibat tempo yang tidak terkawal dan terlalu banyak selingan, penonton tak sabar-sabar untuk melihat Tanggang (Lakonan Shajiry) menjadi batu, sekaligus menamatkan pementasan. Bagaimanapun, skrip yang ditulis oleh A. Morad Ibrahim yang tidak meleret-leret itu, sedikit membantu.
Tentang pengarah Amizai. Apa masalah anda dalam pementasan ini? Apakah anda pertama kali mengarah teater (tentu tidak!) atau pertama kali mengarah bangsawan? Jika ya, saya nasihatkan anda perbanyakkanlah menonton filem Hindustan.
Atau masalah anda tidak boleh mengawal 'pelakon-pelakon' yang sudah ada nama seperti Shajiry, Watie Elite, Ieda Moin dan Shah Farid (Musang Si Guntang)? Jika ya, saudara harus belajar dengan Dato' Yusof Haslam.
Atau masalah anda tak mampu mengawal bilangan pelakon yang ramai dalam satu pementasan? Jika ya, anda perlukan pasukan sokongan yang bagus.
Saya akui bahawa mengawal pelakon dipentas bukan tugas mudah lebih-lebih lagi jika pementasan besar dan melibatkan pelakon dan krew yang ramai. Adakala para pemain ini nampak baik semasa latihan tetapi gugup semasa persembahan dan melakukan kesilapan termasuk kesilapan-kesilapan besar yang mencacatkan persembahan.
Contoh kesilapan dalam pementasan Tanggang ini adalah riak wajah spontan Puteri Intan Baiduri (lakonan Watie Elite) yang terperanjat lantas sedih setelah mendengar titah Ayahandanya supaya Tanggang membawanya ketika belayar nanti. Bukankah sepatutnya dia menunjukkan wajah gembira dengan titah itu kerana dia dapat bersama-sama Tanggang berlayar dan tidak ditinggalkan bersendirian di daratan?
Satu lagi kesilapan besar adalah ketika Tanggang menghalau ibunya dan tidak mengaku perempuan tua itu sebagai ibunya. Patutkah semua sekelian yang ada patut rasa sedih pada babak itu? Saya faham dan boleh menerima jika ibunya, dua sahabat lama Tanggang dan kekasih lama Tanggang sahaja yang bersedih. Tetapi jika seluruh anak bahtera (termasuk Puteri Intan Baiduri) jugak sedih? Bukankah ini mencacatkan.
Kesilapan-kesilapan lain, salah seorang pengikut Alang Kalibang yang memakai selipar di atas pentas. Walaupun dia hanya sebagai korus, susuk tubuhnya diperhatikan. Dalam satu-satu persembahan, korus a.k.a 'pak pacak' sekalipun dianggap penting. Mereka juga harus sedar ruang dan sedar masa dimana dalam pementasan ini semua itu tidak dianggap penting. Kerana itulah ada adegan seperti terlanggar pokok besar, terpijak pisang, bersilat ditempat sempit, tersadung kaki orang depan dan macam-macam lagi.
Satu lagi kelemahan dalam teater ini adalah lontaran suara yang tak lepas dan suara tidak sampai kepada penonton. Mungkinkah ini kesilapan microfon?
Beralih pada prop dan set. Cantik dan halus pada lukisan. Tetapi semacam tak sesuai dengan pementasan. Bukan semua tetapi ada satu dua prop dan set yang tak sesuai. Cuba lebih kreatif dan jangan terikat dengan fatwa-fatwa bangsawan era Pak Rahman B (selaku penasihat pementasan)
Dan akhirnya Tanggang menjadi batu!
Kenangan di Lorong B dan Festival Filem Raintown
Sehari yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan