Khamis, April 27, 2006

Kau ni Bawa Balak Besar kepada Aku!

Sejak akhir-akhir ini, sebuah stesen tv swasta semakin berani menyingkap dan membongkar kegiatan-kegiatan yang berkaitan dengan alam sekitar. Pembalakan haram, pencemaran sungai, kepincangan penyeggaraan kawasan pelupusan sampah merupakan antara isu-isu utama yang dibangkitkan. Memang betul, slot sebegini memang sudah lama dipaparkan oleh stesen tv berkenaan, dahulunya popular dengan si wartawan yang hebat berpantun dan berperibahasa sambil menghayun tangan, tetapi kini skopnya lebih luas dan beritanya lebih panas.

Selepas berita, dipaparkan pula kisah Natasha, yang membawa bala(k) kepada keluarganya dan sesiapa yang merapati dirinya. Tetapi, hal ini sebenarnya tiada kena-mengena.

Bila sesuatu masalah dan isu dibangkitkan, pastinya ada pihak berwajib di sebalik tabir yang terlibat. Kalau diteliti betul-betul setiap hari akan ada persamaan dalam komen yang diberikan oleh hampir semua individu yang bertanggungjawab:

"Kita memang sudah lama menyedari masalah ini dan kami sedang menunggu laporan daripada pihak X mengenai masalah ini ... "

"... satu laporan akan disediakan bagi membangkitkan isu ini yang nampaknya semakin meruncing ... "

"Saya sudah arahkan bahagian X untuk membuat laporan terperinci ..."

"... kita sudah melaporkan perkara ini kepada pihak atasan tapi nampaknya masih tiada tindakan susulan. Jadi nampaknya kita akan hantar laporan kepada pihak atasan supaya mereka akan dapat membuat tindakan susulan ..."

"Masalah kita ialah tiada siapa yang buat laporan tentang perkara ini. Sebagai seorang Yang Berhormat, saya tiada masa untuk menyiasat dan meneliti apa masalah penduduk di kawasan ini. Jadi penduduk sekelian harus tampil dan laporkan masalah yang dihadapi kepada saya ... "

Cuba teka apakah persamaan tersebut?

Yang nyata, menteri yang baru dilantik bertanggungjawab dengan permasalahan berkaitan semakin tertekan hinggakan adegan beliau naik angin dipaparkan baru-baru ini di kaca tv. Baru la handsome ye tak bila nampak menteri buat kerja? Yang peliknya, kenapa dahulu sewaktu menteri lama menjawat jawatan ini dunia senyap-sulit tanpa sebarang permasalahan? Tiada isu pembalakankah? Semua air sungai jernih tanpa bendasing terapungkah?

Melihat kepada isu pembalakan, paling terkini isu pergi jahanam! dipaparkan di dada-dada akhbar. Dahulu kita digemparkan dengan gesture lucah yang dilemparkan oleh si dia kepada parti pembangkang. Memang benar, pembalakan itu menguntungkan, dan manusia memerlukannya. Tapi manalah letaknya Taman Negara kalau pembalakan haram berleluasa melapah terus khazanah alam.

Yang pastinya, janganlah kita mencemarkan alam sekitar, kerana kita memerlukannya. Walau hanya dengan tidak membuang sampah merata-rata sudah cukup bermakna untuk kita berbakti kepada alam. Tentunya alam sekitar yang terjaga memberi manfaat kepada kita jika kita prihatin menjaganya - bagaikan padi masak, jagung yang mengupih.

Selasa, April 25, 2006

Waktu tidur & waktu jaga

Bolehkah kau mengetahui waktu tidur dan waktu jagamu?

Waktu tidur. Jika belum berlaku aktiviti tidur, boleh.

Keterangan : Mahu tidur jam 12.00 malam. Jadinya kau sudah siap berselimut dari jam 11.55 malam lagi.

Waktu tidur. Jika sudah berlakunya aktiviti tidur, tidak boleh.

Keterangan : Memang sudah siap berselimut dari 11.55 malam untuk tidur jam 12.00. Tapi siapa dapat membuktikan yang kau benar-benar melelapkan mata dan tidur. Jadi jam berapa sebenarnya kau tidur?

Waktu jaga. Jika sudah berlakunya aktiviti tidur, boleh.

Keterangan : Kau boleh katakan yang pagi ini kau sedar dari tidur jam 5.45 selepas mendengar Muazin tersalah azan.

Waktu jaga. Jika belum berlakunya aktiviti tidur, tidak boleh.

Keterangan : Tentu tak boleh. Walaupun kita sudah setkan jam loceng, tapi kalau jam itu rosak. Dapatkah kita bangun juga seperti yang kita rancangkan?

Namun, apakah pentingnya untuk kita mengetahui waktu tidur dan waktu jaga?

Ahad, April 23, 2006

DARI DALAM DIRI: Perihal Menulis

Tambun, si Moderator mula menelefon.
"Mana entry?"
"Erk!? Ada, ada ..."
"Mana?"
"Ampun tuanku! Sibuk sikit la sejak akhir-akhir ni. Minda kering-kontang le..."
"Mana satu ni? Sibuk ke, takde idea?"
"Erk!? Dua-dua? Sebenarnya, ada satu entry on the way, baik punyo!"
"Ikut jadual, ok?"
"Roger, takde hal!"

Bukan aku tiada masa (bermaksud alasan 'sibuk' tidak boleh diterima pakai). Tepat 5.30 petang aku dah clock out dari pejabat, malam aku tetap on-line. Kerja lima hari seminggu hujung minggu masih terluang. Tapi berhadapan dengan laptop fikiran aku mula kaku.
"Nantilah sambung tulis ..."

Bukan aku tiada idea (bermaksud alasan 'minda kering-kontang' tidak boleh diterima pakai). Ke sana ke mari aku bersama PDA kesayanganku, mencatit segala yang terlintas di kotak pemikiran dan setiap pemerhatian menarik terhadap alam sekeliling. Tambahan pula dengan segala berita panas di dada-dada akhbar saban hari minda aku tercetus juga. Tapi berhadapan dengan laptop jari aku mula kaku.
"Nantilah sambung tulis..."

Aku sendiri tak tahu apa masalahnya. Apa masalah aku?

Saat ini, sedang aku sibuk-sibuk berfikir tentang masalah ini di hadapan laptop, dan cuba mencari momentum dan motivasi untuk menulis, terdetik di hati aku - "Nantilah sambung tulis ..."

Jumaat, April 21, 2006

DRAMA SEBABAK : Hormati Jumaat?

Apek Hong adalah seorang peniaga. Peniaga yang menjual barangan elektronik. Ada jual TV. Ada jual radio. Juga ada menjual VCD Player. Selalu pasang wrestling. Kedainya di sebelah masjid.

Mamak Deen adalah seorang penjaja. Penjaja yang menjual cendol. Ada cendol pulut. Kacang merah dan jagung pun ada. Tapi tapai tak ada. Menjaja menaiki motorsikal. Dan setiap Jumaat menjaja di depan kedai Apek Hong.

Jam 12.30. Ramai orang makan cendol sambil tengok wrestling.

Jam 1.00. TV ditutup. Waktu solat sudah hampir. Dan mereka yang tadinya leka tengok wrestling, sekarang masuk ke dalam masjid. Apek Hong entah buat apa.

Jam 1.15. Mamak Deen masih mengisar ketulan ais. Masih ramai yang tunggu untuk dapatkan cendul pulutnya.

Selasa, April 18, 2006

Untukmu Adam : Lampu Picit

Adam ada lampu picit. Adam kenalah pandai guna lampu picit tu. Mentang mentang la nama dia lampu picit, Adam selalu saja nak picit picit lampu tu tak kira masa. Pantang bosan je nak picit. Kadang kadang tu masa tgk TV pun picit jugak. Tak tau la cerita apa kat TV masa tu. Mana boleh macam tu Adam. Adam kena ingat, lampu picit ni kita kena guna bila perlu saja. Kalau Adam pakai lampu picit tu masa siang hari, tak sesuai. Sia sia saja perbuatan Adam tu. Nanti bila malam, Lampu picit Adam jadi malap sebab baterinya dah habis. susah la Adam macam tu. Teraba raba saja lah Adam. Nak suluh pun tak boleh, kalau ada cahaya pun, boleh suluh dekat dekat saja. Baik tak payah, Buat malu.

Adam tak perlu risau dengan saiz lampu picit Adam, Bukan saiz yang jadi ukuran. Tapi ketahanan lampu picit tu berfungsi yang paling utama. Adam tak perlu modified lampu picit tu nak besarkan seperti lampu lampu picit keluaran benua Afrika. Ramai juga yang buat begitu, tapi Adam tak payah la. Nanti rosak.

Akhir sekali, harap Adam jagalah lampu picit Adam sebaik mungkin kerana lampu picit boleh tentukan kebahagian hidup Adam.

Isnin, April 17, 2006

TEATER : Anak Bulan lagi

Teater : Anak Bulan di Kg Wa Hassan


Malam tadi adalah malam yang terakhir.

1. Tai - Kau seorang penggiat yang berpotensi tinggi. Aku tunggu kau mengarah teater di Istana Budaya. (Kau kecewa Cikgu Mat tak datang? Haha)

2. Along (dan kumpulan pemuzik) - Tahniah. Aku terhibur dengan music arrangement korang.

3. Fauzi - Terima kasih kerana menggantikan watak Kannan untuk aku. Tapi kurang bagus untuk kau mainkan watak itu. Tetapi watak Mek Marwiyah dan Pontianak, ada improvement.

4. Syawal - Aku kagum kau boleh mainkan watak Hasan sebegitu.

5. Kathy - Kau memang da'Bomb!

Selasa, April 11, 2006

DRAMA SEBABAK : Hukum Karma?

Tingkat Bawah.
Aku masuk ke dalam lif. Ada seorang awek bertudung warna biji kundang di dalamnya. Senyum. Aku membalas senyumannya. Di beranjak ke dalam. Aku tekan butang '7' dan butang '><'.

Pintu lif separuh tertutup. Berhenti. Buka semula. Dua orang lelaki masuk. Berbual sesama sendiri. Aku beranjak ke belakang. Berdiri di sebelah awek bertudung warna biji kundang. Salah seorang dari lelaki berdua itu menekan butang '3' sekali dan butang '><' berkali-kali. Mungkinkah tekan banyak kali, lif akan bergerak cepat dari biasa?

Pintu lif separuh tertutup. Berhenti. Buka sekali lagi. Salah seorang dari lelaki berdua itu mebisik tapi cukup untuk aku dan awek bertudung warna biji kundang mendengar suaranya. "Siapa pula mangkuk nak masuk ni? Aku dah lambat!"

Seorang 'adik-adik' masuk. Senyum kepada lelaki berdua itu. Mungkin dia tak dengar yang lelaki berdua tu kutuknya tadi. 'Adik-adik' itu tekan butang '5'. Dan salah seorang dari lelaki berdua itu tekan btang '><' berkali-kali lagi.

Tingkat 3.
Lelaki berdua itu melangkah keluar. Tapi belum sempat salah seorang lelaki berdua itu melangkah keluar, pintu lif tertutup sendiri. "Aduh. Cilaka lif ni!" Dan pintu tutup kembali.
"Padan muka!" Suara dari mulut 'adik-adik' itu.

Tingkat 5.
'Adik-adik' itu keluar. Tinggal aku berdua dengan awek bertudung warna biji kundang itu.

Tingkat 7.
Aku keluar. Awek bertudung warna biji kundang itu tidak melangkah. Aku senyum kepadanya. Sebelum pintu lif tutup sepenuhnya, aku sempat menoleh kepadanya.

Dia membalas senyumanku.

Ahad, April 09, 2006

ANAK MAMAK : Cemburu ke?

Dulu kes restoren 24 jam. Mereka kata menggalakkan budaya 'burung hantu'. Lepak sampai tengah malam, tidak produktif. Restoren 24 jam yang menjadi punca!

Kemudian, kes restoren yang meletakkan kerusi dan meja di bahu jalan (dan atas jalan!). Mereka kata menyebabkan kesesakan jalanraya. Dan juga keselamatan.

Selepas itu, kes restoren yang gunakan serbuk kas-kas pula. Merbahaya sebab ada ganja.

Sekarang, kes pemilikan restoren milik Ah long atau Ceti haram.

Hahaha.

Lepas ini apa?

Selasa, April 04, 2006

ANAK MAMAK : Minat berniaga

Atuk belah bapa aku pengusaha kilang roti di Kuala Lumpur. Dia mula berniaga di sana pada tahun 1950-an.

Atuk belah mak aku pengusaha kilang roti juga. Tetapi di Alor Setar.

Bapa aku sekarang berniaga runcit di sebelah rumah. Mak dan adik bongsu bapa aku membantu sepenuh masa. Adik aku yang bongsu membantu separuh masa.

Adik-beradik belah bapa aku ramai yang berniaga. Ada yang buka restoren, buka kedai money changer, kedai buku dan kedai runcit.

Jadi di mana jatuhnya kuah kalau tidak ke nasi?

Ahad, April 02, 2006

Hilang

Yang semakin hilang dan terus menghilang,

1 Kad ucapan selamat hari raya
2 Buku 555
3 Tulisan Jawi...... apa? tulisan jawi???

Adakah sudah tidak releven atau semakin luput dimamah hari? Sekarang tiada lagi akhbar yang menggunakan tulisan jawi. Pak Matlob pun tidak menulis lagi.. Apakah yang hilang tidakkan dicari? Yang tertimbus tidakkan digali?