Jumaat, Ogos 21, 2009

TEATER : Persembahan Berdasarkan Hadis

Setahu saya persembahan teater Kopitiam Ghadir (KG) oleh Faisal Tehrani yang lepas adalah persembahan kedua yang membongkar dan mempersembahkan berdasarkan hadis nabi secara serius.

Yang pertama dulu adalah teater karya Dinsman - Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT) - persembahan lakonsemula hadis yang diriwayatkan oleh Ka'ab Bin Malik yang menunggu jawapan dari Allah tentang taubatnya akibat tidak mengerjakan jihad Perang Tabuk tanpa uzur.

Kedua-dua teater ini mengundang ramai para ustaz dan ustazah untuk menontonnya. Malah rata-rata dari mereka yang hadir menonton adalah pertama kali menonton teater.

Saya percaya sebelum ini sudah banyak lagi teater yang premisnya berdasarkan hadis malah juga yang membuat simulasi bedasarkan al-qur'an dalam karya-karya mereka. Bagaimanapun saya percaya dua teater ini - KG & MKDT adalah teater yang lebih serius membongkar dan dipersembahkan secara didaktik (yakni "berniat untuk mengajar") dan jelas menyatakan matan dan periwayat-periwayat hadis yang menjadi isi persembahan.

Beza antara keduanya adalah MKDT digerakkan secara lakonsemula matan hadis yang panjang (paling panjang menurut pengarah dan penulis - Dinsman) serta sedikit rekonstraksi. Sedangkan dalam KG, pemain-pemain membaca (sekurang-kurang empat) hadis-hadis yang berkaitan dengan Ghadir al-Khumm secara penuh syarah umpama kita berada di dalam kuliah-kuliah agama.

Persembahan secara syarah ini bukanlah yang pertama dari Faisal kerana tahun lepas - juga dipersembahkan dalam bulan ogos - bulan kemerdekaan - karyanya 'Dua Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun' (DJSSASD) dan novelet 'Tuhan Manusia' juga dipersembahkan secara syarah sehingga mengundang rasa bosan kerana bebelan dari para pemain.

Tetapi dalam KG kali ini tidak sama sekali. Walaupun tetap dengan mazhab didaktiknya, KG adalah berbeza. Mujur saya tidak serik menonton DJSSASD kerana GK dipersembahkan dengan penuh sinis dan hibur. Tidak rugi menontonnya! Menontonlah kerana GK akan dipentaskan lagi.

Semoga kita mendapat manfaat & berkat dari apa yang kita tonton, dan semoga mereka - Pemuda Revolusi Pembudayaan Selawat - mendapat manfaatkan & rahmat dari apa yang mereka persembahkan.

Tiada ulasan: