Isnin, Oktober 08, 2007

Seribu usaha & sejuta alasan

"Nak seribu daya kalau taknak seribu dalih."

Begitu lah ungkapan Melayu tentang usaha dan alasan. Kalau mahukan sesuatu, pelbagai usaha dilakukan. Dan kalau tak mahukan sesuatu, pelbagai alasan pula yang diberikan. Maknanya 'usaha' dan 'alasan' tak datang seiring.

Kalau mahu, kena usaha. Kalau tak mahu, beri alasan.

Tetapi sekarang ini, setiap usaha perlukan alasan. Malah, setiap seribu usaha perlu dibekalkan sejuta alasan. Tujuan 'alasan' ini hanya sebagai plan B, takut-takut usaha tadi tak berjaya. Kerana orang akan lebih suka mendengar 'alasan' berbanding melihat usaha.

Kita sudah alami pelbagai situasi ini di sekeliling kita. Pelbagai kisah yang kita dengar dan lihat.

Dari politikus yang sememangnya pakar dalam memberi alasan. Contohnya kes babi di Melaka, kes Jejantas runtuh, kes banjir, harga minyak naik dan macam-macam lagi. Bukannya mereka tiada usaha! Mereka sudah memerahkan seribu daya.

Begitu juga dengan ahli sukan. Pelbagai usaha FAM (sekadar satu contoh) telah lakukan dalam pembangunan bolasepak Malaysia. Namun FAM tetap bersedia dengan pelbagai alasan ketika pasukan Kebangsaan kalah dalam satu-satu kejohanan.

Dalam dunia glamor juga begitu. Ingatkah kalian dengan Linda Onn yang memerlukan beberapa hari untuk memikirkan alasan ketidakmunculannya di Hollywood suatu masa dulu. Bukankah dia juga sudah membuat pelbagai usaha untuk memajukan dirinya. Tapi apakan daya...

Yang mutakhir, tentang pelancong ruang angkasa warga Malaysia. Diharapkan kita tidak mendengar apa-apa alasan kalau usaha mereka selama ini tidak menjadi kenyataan. Kalau tidak tentulah alasan-alasan mereka menjadi perbualan hangat ketika bertandang di Hari Raya nanti.

1 ulasan:

Amyz! berkata...

Ya. Bila usaha tak jalan. Bagi alasan. :-)