Memaparkan catatan dengan label Jibunsyi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jibunsyi. Papar semua catatan

Selasa, September 23, 2008

JIBUNSYI : Anak Mamak 4

Faisal melangkah lemah ke bilik yang menempatkan barang-barang yang sebentar tadi. Di dalamnya terdapat sepuluh buah katil bertingkat dan setiap seorang sebuah almari untuk mereka menyimpan barang-barang dan pakaian mereka.

Faisal buntu. Tidak tahu apa yang harus dilakukan. Kelihatan beberapa penghuni di bilik tersebut sedang mengemas barangan mereka ke dalam almari. Masih ada juga seorang dua ibubapa yang mengemaskan almari anak-anak mereka.

Faisal termenung lagi. Lama. Teringat Faisal pada emaknya yang menguruskan segala keperluannya selama ini. Membasuh baju, mengosok dan melipat. Wlaupun bukannya dia tidak pernaj buat sendiri, tetapi terlalu jarang sekali. Kalau pun tidak emaknya yang lakukan, masih ada kak aisyah yang akan menyediakannya.

Tiba-tiba badannya dipegang seseorang. “Adik, tak kemas barang-barang lagi ke?” Tanya seorang pelajar lama mungkin, fikir Faisal

“Nama saya Mamat. Adik boleh panggil saya Abang Mat.” Faisal hanya menganggukkan kepala.

“Abang ketua bilik ni. Kalau adik ada apa-apa masalah boleh cari abang.” Faisal hanya membiarkan Abang Mat bercakap seorang diri. Sebenarnya Faisal sendiri tak tau nak bercakap apa-apa kerana persoalan Abang Mat yang mula-mula pun belum dijawab olehnya sedangkan Abang Mat terus memperkenalkan dirinya.

“Katil abang di tepi tingkap tingkat atas. Adik kat asrama ni kena cepat tau. Semuanya ada jadual dan perlu dilakukan mengikut masa. Sekarang adik kemas dulu, kemudian rehat. Sekejap lagi kena pergi surau untuk solat asar.”

Abang Mat bangun meninggalkan Faisal seorang diri semula. Faisal hairan kenapa Abang Mat tidak bertanyakan namanya dan tidak bertanyakan tentang dirinya. Apakah semua orang termasuk Abang Mat tidak berminat untuk berkawan dengannya? Sehingga namanya pun tidak ditanya.

“Abang Mat, dia tu Melayu ke Keling?”

Tiba-tiba Faisal terdengar soalan yang ditanya oleh salah seorang pelajar yang berbaring di katil yang terletak selang beberapa dari katilnya.

“Nanti sessi taaruf nanti kita boleh berkenalan dengan lebih nanti,” jawab Abang Mat sambil memandang kepada Faisal. Jelas tergambar di raut wajah Abnag Mat yang penuh serba salah. Namun saya melemparkan senyuman kepada Abang Mat.

Bagi Faisal, ini adalah perkara biasa. Sejak dari kecil lagi dia dan adik-adik sering diejek dan dianggap sebagai orang India.

Faisal mula mengemaskan pakaiannya ke dalam almari. Selepas dia memunggah semua pakaian di dalam begnya, dia mula mengemas katil dengan menghamparkan cadar yang diperolehi semasa pendaftaran tadi.

Selesai mengemas, Faisal berehat dengan merebahkan badannya di katil. Pelajar-pelajar lain juga lakukan perkara yang sama. Ibubapa pelajar-pelajar lain juga sudah balik. Faisal ambil peluang untuk melelapkan matanya. Dia berasa gembira kerana ketika di rumah, sebenarnya dia jarang mendapat peluang untuk tidur siang. Ini adalah kerana atta atau mak akan menyuruhnya membantu di kedai.

Tiba azan asar berkumandang, Faisal terjaga. Ada seorang pelajar lama mengetuk pintu dari bilik ke bilik untuk mengajak pelajar-pelajar ke surau. Dan Faisal menyertai pelajar-pelajar lain bersama-sama ke surau.

Selepas menunaikan solat asar di surau, pelajar-pelajar ke melangkah ke dewan makan pula. Mereka menjamu minum petang di sana dan menu untuk hari itu adalah kuih karipap dan air kopi. Tidak ketinggalan, Faisal juga beratur untuk mengambil makanan.

Selepas minum petang, sebenarnya adalah aktiviti bebas. Ramai yang memilih untuk beriadah di padang. Namun Faisal lihat masih ramai sepertinya. Hanyaduduk sambil memerhatikan pelajar-pelajar lain. Ada juga yang saling berkenalan.

Faisal mula terasa sedih dan sepi. Tidak ramai yang mahu menegurnya. Masing-masing hanya melemparkan senyuman. Dia sendiri masih malu-malu dan takut untuk mula memulakan teguran.

Malam itu semua penghuni asrama lelaki diminta berkumpul di surau.

Rabu, Januari 23, 2008

JIBUNSYI : Anak Mamak 3

Sekarang ini giliran Faisal dan atta pula untuk makan tengahari dan solat zuhur. Oleh itu mami dan Kak Aisyah pula kembali bertugaskan untuk menjaga kedai.

Nasi dan lauk sudah dihidangkan di atas meja oleh kak Aisyah. tetapi atta memilih untuk solat zuhur dahulu sebelum menjamah makanan. Mahu tidak mahu, Faisal terpaksa akur untuk solat berjemaah dengan atta. Walaupun perutnya menahan kelaparan. Ini bekemungkinan disebabkan Faisal sudah biasa di asrama untuk menjamu makanan tengahari seawal jam 12.30 berbanding hari ini yang waktunya telah menunjuk jam 2.30 petang.

Selepas berehat solat zuhur dan makan tengahari, Faisal bersiap-siap untuk keluar bersama atta untuk membeli barang keperluan kedai yang sudah kekurangan stok.

Sebelum mereka menaiki van, atta sekali lagi meronda di dalam kedai untuk memeriksa apakah barang-barang lain yang belum ditulisnya tetapi perlu untuk dibeli.

"Atta, kicap manis ini sudah kekurangan stok. Atta sudah mencatitkannya?"

"Oh, belum lagi. Tak perasan pula tadi. Stok ini baru saja dibeli minggu lepas, tak sangka pula hari ini sudah berkurangan."

"Harganya sekarang RM 1.50?. Bukankah beberapa minggu lepas hanya dijual dengan harga RM 1.30 sahaja?"

Atta tidak segera menjawap soalan itu. Bagi atta, apa yang nak diherankan sangat. Biasalah barangan-barangan runcit seperti kicap, sos, tepung, susu, kacang tanah, beras pulut dan lain-lain akan mengalami berubahan harga yang tidak menentu. Kadang-kala berubahan itu tidak masuk akal dan bercanggah sama sekali dengan teori ekonomi dalam penentuan harga barang iaitu harga ditentukan oleh penawaran dari pembekal serta permintaan dari pengguna.

Destinasi yang pertama ialah Pemborong Ah Ming. Di kedai ini biasanya atta akan membeli air tin, air kotak, air botol, kelapa bulat, dan kadang-kala atta juga akan membeli gula-gula atau makanan kanak-kanak.

"Berapa awak bagi harga untuk sekaton air botol ini, tauke?"

"Biasa saya jual dua puluh empat. Tapi mamak punya pasal, saya jual dua puluh dua sahaja."

"Sudah naik sampai dua puluh empat kah? Tapi kenapa itu Khuat Chua boleh bagi saya dua puluh saja?"

Tak mungkin la. mungkin dia punya stok lama. sekarang sudah naik. Lain tempat sudah jual sampai dua puluh lima pun ada."

"Tak apalah. Saya beli dari Khuat Chua saja. Tauke, lain-lain barang awak kira. Saya bayar sekarang, nanti hantar ke kedai saya ya"

"Beginilah mamak. Saya beri awak harga dua puluh satu ringgit. Berapa katon awak mau? Tiga katon macam biasa?"

"Saya mahu empat katon tetapi harga dua puluh boleh tauke?"

"Oklah mamak. Saya kira dua puluh. Saya akan suruh pekerja saya hantar semua petang nanti ke kedai mamak. Terima kasih ya."

"Sama-sama"

Atta dan Faisal melangkah keluar dari kedai Tauke Ah Ming. Selepas itu, mereka menuju ke kedai lain pula. Beberapa barang lain masih belum dibeli mereka. termasuklah kicap manis yang sudah kekurangan stok itu.

Atta memandu ke arah kedai Khuat Chua. Sampai sahaja mereka di kedai tersebut, beberapa pekerja di kedai tersebut menyapa atta. Seperti biasa mereka akan bertanya khabar dan beberapa perkara secara ringkas. Tujuan mereka bukanlah kerana ingin berborak, tetapi sekadar ingin menunjukkan kemesraan kepada pelanggan mereka.

Itulah pesanan yang diajarkan oleh mendiang Khuat Chua kepada anak-anak dan pekerja-pekerjanya. Walaupun mendiang Khuat Chua sudah meninggal, anak-anaknya sentiasa mengingatkan pekerja-pekerja perkara yang sama.

Kedai Khuat Chua sekarang diterajui oleh anak bongsu beliau, Tang Boon dengan dibantu oleh isterinya, Diamond. Tang Boon masih mengekalkan nama kedainya dengan nama Khuat Chua kerana ayahnya adalah pengasas kepada kedai tersebut. Kerana itu, kadang kala dia sendiri dipanggil Khuat Chua.

Jarang dia menafikan bila orang memanggilnya Khuat Chua. Kerana itu masih ramai yang keliru tentang namanya. Faisal juga tidak tau sebelum ini. Hanya beberapa bulan lepas, barulah Faisal tau selepas diberitahu oleh atta.

"Beri saya kelapa bulat 100 biji. Pilih yang muda-muda ya," pesan atta kepada perkerja di kedai Khuat Chua.

"Baik mamak. Ada apa-apa barang lagi?"

"Tauke Tang dimana?"

"Tauke sudah keluar. Mamak mau tambah barang lagi?"

"Diamond pun tak ada? Mereka keluar sama-sama ya? Agak-agak pukul berapa dia balik?"

"Saya tak tau mamak. Dia tak pesan apa-apa semasa dia keluar. Mamak mahu apa lagi? Boleh saya ambil sekarang."

"Air botol ni," sambil atta menunjukkan pada susunan air botol yang disusun tinggi dengan diasingkan beberapa perisa. "Berapa harganya?"

"Satu katon, dua puluh empat ringgit."

"Tak boleh kurang?"

"Itu pun sudah dikurang harganya. Sekarang harga sudah naik. Mamak mahu berapa katon?"

"Tak apalah. Mahal sangat."

" Lain-lain barang mamak?"

"Kicap manis berapa?"

"Satu katon enam belas ringgit lapan puluh sen . Satu botol jatuh harga tujuh puluh sen. Mahu angkat satu?"

"Tak apa. Saja tanya. Stok di kedai masih ada." Mendengar kenyataan itu, Faisal dengan segera memandang tepat ke muka atta. Atta hanya memandang kembali tanpa ada respon apa-apa emosi.

"Ada barang apa lagi mamak?"

"Tak ada. Itu saja. Kira semua ya. Van saya ada di sana," tangan atta menunjukkan ke arah van manakala kaki melangkah ke kaunter untuk membuat pembayaran.

Sedangkan Faisal masih keliru. Keliru kerana bapanya berbohong tentang harga air botol di kedai tauke Ah Ming. Katanya kedai Khuat Chua ini menawarkan harga yang lebih murah, walhal harganya sama. Pembohongan lain ialah kenapa mengatakan stok kicap manis masih ada walaupun sebenarnya sudah hampir kehabisan.

Kekeliruan yang seterusnya ialah kenapa tidak beli kicap manis tersebut? Bukankah harganya murah? Apakah muslihat ini dibenarkan dalam perniagaan?

Persoalannya, bagaimanakah cara terbaik untuk Faisal bertanyakan kepada atta tentang perkara ini.

"Kenapa atta tak beli kicap manis di kedai Khuat Chua tadi?" Soal Faisal untuk memulakan kekeliruannya. Dia tidak boleh terus menerus bertanyakan soalan-soalan yang sensitif.

"Antara petua untuk membeli barang ialah jangan terikat dengan satu pemborong atau pengedar saja," atta memulakan penerangan. Faisal hanya mendengar dengan semandang muka atta, walaupun atta memandang ke jalanraya. Dia hanya harus mendengar penjelasan atta satu persatu walaupun soalannya masih belum dijawap.

"Kalau kita terikat pada satu pengedar sahaja, menyebabkan mereka memonopoli perniagaan kita. Mereka akan meletakkan atau menentukan harga sesusuatu barang itu sesuka hati mereka..Sebagai contoh, sepatutnya harga sesuatu barang itu naik hanya dua puluh sen. Tetapi disebabkan kita tiada alternatif lain kerana terikat dengan satu pengedar sahaja, maka dengan sesuka hati pengedar itu menaikan harga sehingga tujuh atau lapan puluh sen." Atta menerangkan dengan panjang lebar.

"Memang selalu Tauke Tang Boon beri diskaun lebih dari Tauke Ah Ming?" Soal Faisal lagi untuk kepastiaan.

"Kadang-kadang. Tapi selalunya tidak." Dengan nada keras Atta mengucapkan perkatakan 'tidak' itu.

Sekarang mereka sudah sampai di kedai Pakcik Rafi. Atta sudahpun memakir van di tempat yg sediakan. Memanglah agak jauh kerana ramai yang akan berkunjung ke kedai pakcik Rafi ini kerana kedai dibahagi kepada dua bahagian iaitu barangan basah dan barangan kering.

Yang paling ramai yang berkunjung ke kedai Pakcik Rafi ialah mereka-mereka yang ingin membeli barangan basah kerana pakcik Rafi menawarkan sayuran dan ikan-ikan yang segar.

"Di sini, kita akan beli kicap manis tersebut," kata atta sambil melangkah masuk ke bahagian barangan kering di kedai Pakcik Rafi.

Setelah hampir setengah jam di bahagian barangan kering, atta mengambil masa empat puluh minit di bahagian barangan basah pula.Sayur-sayuran, ikan dan daging yang dibeli di kedai pakcik Rafi tidaklah semuanya akan dijual semula tetapi termasuk juga untuk kegunaan sendiri.

Selepas membuat pembayaran. Atta dan Faisal keluar menuju ke van dengan menyorong troli yang berisi barang-barang yang dibeli di kedai pakcik Rafi termasuklah kicap manis.

Selepas menunggah dan menyusun barang-barang di dalam van, mereka menuju pulang ke rumah. Di dalam van, atta memulakan semula perbualan. "Satu lagi petua, atau sebenarnya magis.Tak semua barang yang kta mahu beli, dibeli dengan harga yang lebih murah. Ada ketikanya kita akan beli dengan harga yang lebih tinggi."

"Kenapa pula beli dengan harga yang lebih mahal? Bukankah kalau beli dengan harga yang tinggi, akan merendahkan margin." Tanya Faisal kehairanan. Mungkin atta hanya bergurau. Tetapi kalau betul, apakah magisnya?

"Sebenarnya perkara ni bukan semestinya berlaku. Tapi hanya kadang-kadang. Tapi kadang-kadang itulah magisnya." Atta berkata sambil mengukirkan senyuman.

"Contohnya seperti kicap manis yang kita beli di sini tadi. Kita beli dengan harga seringgit sebotol. Walaupun di kedai Khuat Chua tadi mereka menawarkan harga tujuh puluh sen sebotol. Dengan harga seringgit ini kita menjualnya dengan harga RM 1.50 dan dulu atta jual dengan harga RM 1.30 sebab beli dari Khuat Chua dengan harga tujuh puluh sen. Secara logiknya, pelanggan-pelanggan kita akan membeli kicap manis yang berharga RM 1.30. Tetapi yang magisnya, pelanggan kita lebih ramai membeli dengan harga yang lebih mahal. Maknannya kita lebih untung kalau jual RM 1.50 kerana kuantiti yang lebih."

"Selalu ke berlaku? Soal Faisal separuh kehairanan. Benarkah perkara ini benar-benar laku? Fikirnya lagi, kalau tidak masakan atta sanggup berbuat demikian?

"Tak juga. Biasanya ikut gerak hati."

Selepas tiada lagi perbualan antara mereka selepas itu. Atta tumpukan perhatian terhadap pemanduan. Faisal pula mengelamun. Entah dia masih fikirkan tentang magis itu. Atau fikiran melayang tentang perkara lain. Masing-masing buat hal masing-masing sehinggalah mereka tiba di kedai.

Rabu, Oktober 03, 2007

JIBUNSYI : Anak Mamak 2

"Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Allah. Sudah sujud syukur?". Itulah respon pertama dari atta selepas Faisal memberi tahu tentang keputusan tersebut.

"Alhamdulillah. Syukur kerana segala usaha Abang (panggilan lain utk Faisal oleh maknya) membuahkan hasil. Malam ini tolong emak hantarkan pisang ke surau." Emak memang selalu bersedekah sesuatu apabila ada apa-apa peristiwa dan acara. Tidak kiralah sama ada majlis kesyukuran, majlis doa selamat, atau ketika menghajatkan sesuatu. Atau ketika majlis kebesaran dalam Islam iaitu Maulidur Rasul, Isra' Mikraj, Nifsu Syaaban atau yang lain-lain.

"Tetapi malam ini malam Rabu. Bukan malam Jumaat"

"Malam Rabu pun orang makan pisang juga"

"Tetapi persoalannya kenapa pisang?"

"Kenapa? Pisang hanya dimakan malam Jumaat atau ketika solat Jumaat sajakah?"

"Tidaklah begitu. Tetapi cuba ubah benda lain. Buah-buahan yang lain. Atau makanan yang lain. Sekarang ini trend sudah berubahlah emak. Macam emak sendiri yang kata, bukan malam Jumaat atau waktu solat Jumaat saja orang makan pisang, waktu-waktu lain pun orang makan pisang. Begitulah juga, orang bukan makan pisang saja. Buahan lain pun orang makan juga."

"Tetapi sudah emak memang sukakan pisang, jadi emak hantarlah pisang. Sudah! Selepas makan, pegi kedai tolong atta di sana." Mami Zaitun mematikan perbualan. Serta merta Faisal akur dengan arahan tersebut.

Betul juga, fikir Mami Zaitun. mengapa dia perlu teruskan tradisi itu? Orang dulu-dulu memanglah akan membawa pisang ke surau-surau atau di masjid-masjid kerana rata-rata orang kampung menanam pokok pisang di laman masing-masing. Lagi pula, buah pisang tidak bermusim.

Tetapi sekarang buah bermusim dapat dinikmati tanpa tunggu musimnya. Makanan lain juga tidak ada sempadan waktu untuk dikudap. Nasi Lemak dan roti canai yang dulunya hanya dimakan waktu sarapan boleh dimakan pada waktu tengah malam. Malah ketupat rendang boleh dimakan tanpa perlu tunggu tibanya hari raya.

Tetapi itulah Mami Zaitun. Dia mementingkan tradisi. Apa yang dialami dan dipelajari oleh ibubapanya sejak kecil, itulah yang akan dilakukan dan mengajar anak-anaknya pula. Baginya tradisi mesti diteruskan.

Bukan Mami Zaitun sahaja yang berpegang teguh kepada tradisi. Adik beradik Mami juga begitu serta adik beradik atta juga begitu. Malah kebanyakan keluarga India Muslim adalah sangat mementingkan tradisi. Bahkan sangat susah untuk membuat pembaharuan. Mereka akan meneruskan tradisi turun temurun walaupun sesetengah tradisi itu sudah tidak relevan lagi.

Termasuk tradisi menghantar pisang ke surau atau masjid, seperti yang dilakukan oleh Mami Zaitun.

Isnin, Oktober 01, 2007

JIBUNSYI : Anak Mamak

"Apakah agaknya keputusan yang bakal aku perolehi? Semoga segala usaha, kesungguhan dan impian selama ini akan memberikan natijah yang baik." Itulah antara doanya selepas solat Subuh tadi.

Hari itu bukan hari seperti biasa untuk Faisal. Walaupun matahari masih terbit dari timur dan tenggelam di barat. Walaupun bumi masih masih berputar mengikut orbitya seperti biasa. Tetapi hari itu bukanlah hari seperti biasa untuknya.

Ini adalah kerana hari itu adalah hari yang mendebarkan. Hari untuk mendapat keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi semua pelajar seluruh Malaysia yang mengambil peperiksaan tersebut.

Selepas solat subuh, Faisal baring semula di atas katil. bukan mahu tidur, tetapi sekadar baring-baring.

"Jangan tidur selepas solat Subuh, mewarisi kepapaan," pesan emak selalu.

"Jangan tidur selepas solat Subuh, menutup pintu rezeki," pesan atta juga.

"Jangan tidur selepas solat Subuh, pemalas!" Bebel Kak Aisyah sewaktu dia tidak dapat peluang untuk tidur. Kerana kalau ada peluang dia sendiri akan tidur selepas solat Subuh, sebelum solat Zuhur, selepas solat Zuhur, sebelum solat Asar dan kadang-kadang selepas solat Asar. Kak Aisyah memang suka tidur.

"Faisal, pukul berapa hendak pergi sekolah?" Mami Zaiton, emak Faisal bertanya.

"Hendak pergilah ini. Tengah siap. Pakai baju," jawap Faisal sambil mencapai tuala dan terus bergegas ke bilik air.

"Mandi bersih-bersih. Jangan lupa sabun"

"Tengah pakai baju kenapa pula kena pakai sabun?" Seloroh Faisal dengan emaknya.

Faisal memang lebih rapat dengan emaknya berbanding dengan atta. Dan mereka sering bergurau.

"Cepat sedikit mandi. Nanti lambat pula Atta buka kedai"

Memang begitulah lazimnya, Atta (panggilan untuk bapa) akan hantar Aisyah dan Faisal ke sekolah sebelum buka kedai. tetapi itu tidak bermakna Mami Zaitun tidak akan buka kedai sendiri.

Memang atta yang biasakan begitu, sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab mencari nafkah dan rezeki untuk keluarga, Attalah yang seharusnya buka kedai runcit yang dijalankan oleh mereka semenjak tiga tahun lalu.

Mami Zaitun hanya membantu di kedai ketika mana anak-anak berada di sekolah. Kalau ada anak-anaknya yang tidak bersekolah hari itu, Mami Zaitun akan duduk di rumah bersama anak-anaknya.

Melainkan kalau Atta ada urusan lain. ketika itulah, baru Mami Zaitun akan buka dan jaga kedai