Rabu, November 10, 2010

City Island

Dalam kecelaruan, kebingungan dan kebingitan hidup, pasti ada ketenangan dan kesudahan yang menyenangkan. Barangkali itulah yang cuba disampaikan oleh pengarah dan penulis Raymond de Felitta dalam naskhah City Island, sebuah filem komedi kekeluargaan.

Filem ini berkisar tentang sebuah keluarga kacau-bilau (dysfunctional family) yang sekian lama hidup dalam penipuan, melalui satu keadaan di mana semuanya akan terbongkar. Si bapa, Vincent Rizzo (lakonan 5 bintang oleh Andy Garcia), seorang pegawai penjara sentiasa keluar pada malam hari, dalam cemburu Joyce si isteri (lakonan juliana marguilles) yang begitu yakin si suami bermain kayu tiga. Padahal Vince yang idolanya ialah Marlon Brando, berulang alik ke kelas lakonan kerana mengimpikan menjadi pelakon. Anak perempuan sulung pula yang dianggap pulang bercuti daripada kolej, sebenarnya sudah lama bekerja sebagai penari bogel di kelab malam berdekatan, kerana dibuang daripada kolej. Anak lelaki pula yang mempunyai fetish kepada wanita berbadan besar, tidak putus-putus mengikuti setiap perkembangan laman web seorang wanita berbadan besar, yang rupa-rupanya jiran sebelah!

Bagaikan nasi berlauk yang pelbagai ditambah kicap, Tony muncul penyedap rasa. Seorang tahanan penjara di mana Vince bertugas, Tony yang dalam parol diambil Vince untuk tinggal bertukang dirumahnya. Vince yang tahu Tony adalah anak kandungnya dalam hubungan terdahulu menyimpan rahsia tersebut sendirian. Tony pula dalam masa yang sama bagaikan server pangkalan data (database), tempat semua ahli keluarga menyimpan rahsia.

Maka dalam hiruk-pikuk timbullah 1001 macam karenah yang diulit dalam komedi. Tiada komedi slapstik di sini, semuanya berdasarkan kekuatan skrip dan juga keberkesanan watak yang dilakonkan dengan jayanya, terutama sekali Andy Garcia.

Berlatar-belakangkan City Island, sebuah pekan nelayan di Bronx, filem ini mengingatkan saya kepada Little Miss Sunshine, tapi lebih baik daripada itu.

Kesudahannya? Saksikan sendiri!

2 ulasan:

elmaaniq berkata...

Roasted,
Pinjam VCD, boleh?

konya berkata...

boleh ... hihi