Ahad, Ogos 21, 2005

NOSTALGIA : Aku malu dihalau begitu

Aku memang tak ada rancangan hujung minggu itu, tapi kawan-kawan lain dah ada tempat yang depa nak tuju, dan dalam masa termangu-mangu itu, terbaca iklan tentang permentasan teater bertajuk 'Satu'.

Serta-merta aku tergoda, untuk menontonnya, biarlah berapapun harganya, yang penting aku suka.

Beserta iklan itu ada preview, sebelum pergi aku perlu tau, walaupun dilakonkan oleh budak-budak U, mana tau banyak yang boleh belajar di situ.

Persembahan berbentuk kerohanian, unsur Islamik dan keimanan, jadi itu bukanlah halangan, untuk aku mendapat pedoman, tambah ilmu serta pengalaman.

Tibalah sudah hari persembahan, tiket diperiksa kemas tersimpan, supaya dapat masuk ke dewan, walaupun bukan kerusi paling depan.

Aku sekarang di ruang lobi, orang yang datang ramai sekali, pakaian cantik seksi berseri-seri, aku apa lagi, sekali-sekala mata dicuci!

Bukan satu bukan dua mahupun tiga, tetapi ramai tak terkira, mereka yang wanita, berpakaian terbuka.

Walaupun yang bertudung kepala, tak sempurna juga auratnya, sudahlah pendek lengan bajunya, ketat pula seluarnya, sampai nampak susuk tubuh badannya, nak juga seksi katanya!

Tibalah kini untuk memasuki dewan, tapi dalam ramai-ramai aku yang ditahan, seingat-ingat tak kubuat kesalahan, hatiku gundah tak keruan.

Rupa-rupanya pakaian aku yang jadi punca, berseluar jeans dan berbaju tanpa kolar, walaupun sudah sempurna auratnya, etika dewan kena patuhi juga, katanya!

Seperti yang sudah aku katakan, persembahan berbentuk kerohanian, unsur Islamik dan keimanan, tapi itu semua depa tak heran, etika dewan perlu diutamakan.

Beberapa minit masa berlalu, tunggu punya tunggu, tetap aku tak diberi lalu.

Tak dapatlah aku menonton persembahan 'Satu', dalam hati hanya Tuhan yang tahu, tapi aku malu dihalau begitu.

Tiada ulasan: