"Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Allah. Sudah sujud syukur?". Itulah respon pertama dari atta selepas Faisal memberi tahu tentang keputusan tersebut.
"Alhamdulillah. Syukur kerana segala usaha Abang (panggilan lain utk Faisal oleh maknya) membuahkan hasil. Malam ini tolong emak hantarkan pisang ke surau." Emak memang selalu bersedekah sesuatu apabila ada apa-apa peristiwa dan acara. Tidak kiralah sama ada majlis kesyukuran, majlis doa selamat, atau ketika menghajatkan sesuatu. Atau ketika majlis kebesaran dalam Islam iaitu Maulidur Rasul, Isra' Mikraj, Nifsu Syaaban atau yang lain-lain.
"Tetapi malam ini malam Rabu. Bukan malam Jumaat"
"Malam Rabu pun orang makan pisang juga"
"Tetapi persoalannya kenapa pisang?"
"Kenapa? Pisang hanya dimakan malam Jumaat atau ketika solat Jumaat sajakah?"
"Tidaklah begitu. Tetapi cuba ubah benda lain. Buah-buahan yang lain. Atau makanan yang lain. Sekarang ini trend sudah berubahlah emak. Macam emak sendiri yang kata, bukan malam Jumaat atau waktu solat Jumaat saja orang makan pisang, waktu-waktu lain pun orang makan pisang. Begitulah juga, orang bukan makan pisang saja. Buahan lain pun orang makan juga."
"Tetapi sudah emak memang sukakan pisang, jadi emak hantarlah pisang. Sudah! Selepas makan, pegi kedai tolong atta di sana." Mami Zaitun mematikan perbualan. Serta merta Faisal akur dengan arahan tersebut.
Betul juga, fikir Mami Zaitun. mengapa dia perlu teruskan tradisi itu? Orang dulu-dulu memanglah akan membawa pisang ke surau-surau atau di masjid-masjid kerana rata-rata orang kampung menanam pokok pisang di laman masing-masing. Lagi pula, buah pisang tidak bermusim.
Tetapi sekarang buah bermusim dapat dinikmati tanpa tunggu musimnya. Makanan lain juga tidak ada sempadan waktu untuk dikudap. Nasi Lemak dan roti canai yang dulunya hanya dimakan waktu sarapan boleh dimakan pada waktu tengah malam. Malah ketupat rendang boleh dimakan tanpa perlu tunggu tibanya hari raya.
Tetapi itulah Mami Zaitun. Dia mementingkan tradisi. Apa yang dialami dan dipelajari oleh ibubapanya sejak kecil, itulah yang akan dilakukan dan mengajar anak-anaknya pula. Baginya tradisi mesti diteruskan.
Bukan Mami Zaitun sahaja yang berpegang teguh kepada tradisi. Adik beradik Mami juga begitu serta adik beradik atta juga begitu. Malah kebanyakan keluarga India Muslim adalah sangat mementingkan tradisi. Bahkan sangat susah untuk membuat pembaharuan. Mereka akan meneruskan tradisi turun temurun walaupun sesetengah tradisi itu sudah tidak relevan lagi.
Termasuk tradisi menghantar pisang ke surau atau masjid, seperti yang dilakukan oleh Mami Zaitun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan