"Apakah agaknya keputusan yang bakal aku perolehi? Semoga segala usaha, kesungguhan dan impian selama ini akan memberikan natijah yang baik." Itulah antara doanya selepas solat Subuh tadi.
Hari itu bukan hari seperti biasa untuk Faisal. Walaupun matahari masih terbit dari timur dan tenggelam di barat. Walaupun bumi masih masih berputar mengikut orbitya seperti biasa. Tetapi hari itu bukanlah hari seperti biasa untuknya.
Ini adalah kerana hari itu adalah hari yang mendebarkan. Hari untuk mendapat keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi semua pelajar seluruh Malaysia yang mengambil peperiksaan tersebut.
Selepas solat subuh, Faisal baring semula di atas katil. bukan mahu tidur, tetapi sekadar baring-baring.
"Jangan tidur selepas solat Subuh, mewarisi kepapaan," pesan emak selalu.
"Jangan tidur selepas solat Subuh, menutup pintu rezeki," pesan atta juga.
"Jangan tidur selepas solat Subuh, pemalas!" Bebel Kak Aisyah sewaktu dia tidak dapat peluang untuk tidur. Kerana kalau ada peluang dia sendiri akan tidur selepas solat Subuh, sebelum solat Zuhur, selepas solat Zuhur, sebelum solat Asar dan kadang-kadang selepas solat Asar. Kak Aisyah memang suka tidur.
"Faisal, pukul berapa hendak pergi sekolah?" Mami Zaiton, emak Faisal bertanya.
"Hendak pergilah ini. Tengah siap. Pakai baju," jawap Faisal sambil mencapai tuala dan terus bergegas ke bilik air.
"Mandi bersih-bersih. Jangan lupa sabun"
"Tengah pakai baju kenapa pula kena pakai sabun?" Seloroh Faisal dengan emaknya.
Faisal memang lebih rapat dengan emaknya berbanding dengan atta. Dan mereka sering bergurau.
"Cepat sedikit mandi. Nanti lambat pula Atta buka kedai"
Memang begitulah lazimnya, Atta (panggilan untuk bapa) akan hantar Aisyah dan Faisal ke sekolah sebelum buka kedai. tetapi itu tidak bermakna Mami Zaitun tidak akan buka kedai sendiri.
Memang atta yang biasakan begitu, sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab mencari nafkah dan rezeki untuk keluarga, Attalah yang seharusnya buka kedai runcit yang dijalankan oleh mereka semenjak tiga tahun lalu.
Mami Zaitun hanya membantu di kedai ketika mana anak-anak berada di sekolah. Kalau ada anak-anaknya yang tidak bersekolah hari itu, Mami Zaitun akan duduk di rumah bersama anak-anaknya.
Melainkan kalau Atta ada urusan lain. ketika itulah, baru Mami Zaitun akan buka dan jaga kedai
Tiada ulasan:
Catat Ulasan