Khamis, Oktober 11, 2007

Di iringi dengan doa

Alhamdulillah,
Misi Malaysia telah berjaya.

Tahniah,
Dato' Dr. Sheikh Muszaphar Shukor kerana menjadi pelancong angkasa pertama negara

Isnin, Oktober 08, 2007

Seribu usaha & sejuta alasan

"Nak seribu daya kalau taknak seribu dalih."

Begitu lah ungkapan Melayu tentang usaha dan alasan. Kalau mahukan sesuatu, pelbagai usaha dilakukan. Dan kalau tak mahukan sesuatu, pelbagai alasan pula yang diberikan. Maknanya 'usaha' dan 'alasan' tak datang seiring.

Kalau mahu, kena usaha. Kalau tak mahu, beri alasan.

Tetapi sekarang ini, setiap usaha perlukan alasan. Malah, setiap seribu usaha perlu dibekalkan sejuta alasan. Tujuan 'alasan' ini hanya sebagai plan B, takut-takut usaha tadi tak berjaya. Kerana orang akan lebih suka mendengar 'alasan' berbanding melihat usaha.

Kita sudah alami pelbagai situasi ini di sekeliling kita. Pelbagai kisah yang kita dengar dan lihat.

Dari politikus yang sememangnya pakar dalam memberi alasan. Contohnya kes babi di Melaka, kes Jejantas runtuh, kes banjir, harga minyak naik dan macam-macam lagi. Bukannya mereka tiada usaha! Mereka sudah memerahkan seribu daya.

Begitu juga dengan ahli sukan. Pelbagai usaha FAM (sekadar satu contoh) telah lakukan dalam pembangunan bolasepak Malaysia. Namun FAM tetap bersedia dengan pelbagai alasan ketika pasukan Kebangsaan kalah dalam satu-satu kejohanan.

Dalam dunia glamor juga begitu. Ingatkah kalian dengan Linda Onn yang memerlukan beberapa hari untuk memikirkan alasan ketidakmunculannya di Hollywood suatu masa dulu. Bukankah dia juga sudah membuat pelbagai usaha untuk memajukan dirinya. Tapi apakan daya...

Yang mutakhir, tentang pelancong ruang angkasa warga Malaysia. Diharapkan kita tidak mendengar apa-apa alasan kalau usaha mereka selama ini tidak menjadi kenyataan. Kalau tidak tentulah alasan-alasan mereka menjadi perbualan hangat ketika bertandang di Hari Raya nanti.

Jumaat, Oktober 05, 2007

Mr. Bush, di Malaysia tiada teroris.

Ketahuilah seluruh dunia yang Malaysia ini tiada pengganas, lebih-lebih lagi pelampau agama.

Walaupun Malaysia berbilang kaum, orang Melayunya tidak ekstrimis terhadap Islam, tidak seperti di negara Arab & jiran kami Indonesia (kononnya). Orang Indianya tidak ekstrimis terhadap Hindu, tidak seperti di negara India. Orang Cina tidak ekstrimis terhadap Buddha, tidak seperti di negara Nyanmar.

Tetapi kenapa ya, para pemimpin kami bersungguh-sungguh mahu menafikan yang Malaysia ini tidak ada pengganas, lebih-lebih lagi pelampau agama. Walaupun seluruh dunia sudah tahu.

Kawan aku berkesempatan berjumpa dengan Abuya pengasas al-Arqam baru-baru ini. Apabila ditanya tentang dirinya, Abuya hanya berkata dia sekarang dah RTM - rehat tunggu mati. Tidak ada apa-apa lagi yang boleh dia lakukan.

Jadi, tak perlulah pemimpin-pemimpin kami bermain 'wayang' untuk menunjukkan kepada dunia yang mereka membuat 'kerja' dalam menghapuskan pengganas, kan?

Rabu, Oktober 03, 2007

JIBUNSYI : Anak Mamak 2

"Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Allah. Sudah sujud syukur?". Itulah respon pertama dari atta selepas Faisal memberi tahu tentang keputusan tersebut.

"Alhamdulillah. Syukur kerana segala usaha Abang (panggilan lain utk Faisal oleh maknya) membuahkan hasil. Malam ini tolong emak hantarkan pisang ke surau." Emak memang selalu bersedekah sesuatu apabila ada apa-apa peristiwa dan acara. Tidak kiralah sama ada majlis kesyukuran, majlis doa selamat, atau ketika menghajatkan sesuatu. Atau ketika majlis kebesaran dalam Islam iaitu Maulidur Rasul, Isra' Mikraj, Nifsu Syaaban atau yang lain-lain.

"Tetapi malam ini malam Rabu. Bukan malam Jumaat"

"Malam Rabu pun orang makan pisang juga"

"Tetapi persoalannya kenapa pisang?"

"Kenapa? Pisang hanya dimakan malam Jumaat atau ketika solat Jumaat sajakah?"

"Tidaklah begitu. Tetapi cuba ubah benda lain. Buah-buahan yang lain. Atau makanan yang lain. Sekarang ini trend sudah berubahlah emak. Macam emak sendiri yang kata, bukan malam Jumaat atau waktu solat Jumaat saja orang makan pisang, waktu-waktu lain pun orang makan pisang. Begitulah juga, orang bukan makan pisang saja. Buahan lain pun orang makan juga."

"Tetapi sudah emak memang sukakan pisang, jadi emak hantarlah pisang. Sudah! Selepas makan, pegi kedai tolong atta di sana." Mami Zaitun mematikan perbualan. Serta merta Faisal akur dengan arahan tersebut.

Betul juga, fikir Mami Zaitun. mengapa dia perlu teruskan tradisi itu? Orang dulu-dulu memanglah akan membawa pisang ke surau-surau atau di masjid-masjid kerana rata-rata orang kampung menanam pokok pisang di laman masing-masing. Lagi pula, buah pisang tidak bermusim.

Tetapi sekarang buah bermusim dapat dinikmati tanpa tunggu musimnya. Makanan lain juga tidak ada sempadan waktu untuk dikudap. Nasi Lemak dan roti canai yang dulunya hanya dimakan waktu sarapan boleh dimakan pada waktu tengah malam. Malah ketupat rendang boleh dimakan tanpa perlu tunggu tibanya hari raya.

Tetapi itulah Mami Zaitun. Dia mementingkan tradisi. Apa yang dialami dan dipelajari oleh ibubapanya sejak kecil, itulah yang akan dilakukan dan mengajar anak-anaknya pula. Baginya tradisi mesti diteruskan.

Bukan Mami Zaitun sahaja yang berpegang teguh kepada tradisi. Adik beradik Mami juga begitu serta adik beradik atta juga begitu. Malah kebanyakan keluarga India Muslim adalah sangat mementingkan tradisi. Bahkan sangat susah untuk membuat pembaharuan. Mereka akan meneruskan tradisi turun temurun walaupun sesetengah tradisi itu sudah tidak relevan lagi.

Termasuk tradisi menghantar pisang ke surau atau masjid, seperti yang dilakukan oleh Mami Zaitun.

Isnin, Oktober 01, 2007

JIBUNSYI : Anak Mamak

"Apakah agaknya keputusan yang bakal aku perolehi? Semoga segala usaha, kesungguhan dan impian selama ini akan memberikan natijah yang baik." Itulah antara doanya selepas solat Subuh tadi.

Hari itu bukan hari seperti biasa untuk Faisal. Walaupun matahari masih terbit dari timur dan tenggelam di barat. Walaupun bumi masih masih berputar mengikut orbitya seperti biasa. Tetapi hari itu bukanlah hari seperti biasa untuknya.

Ini adalah kerana hari itu adalah hari yang mendebarkan. Hari untuk mendapat keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi semua pelajar seluruh Malaysia yang mengambil peperiksaan tersebut.

Selepas solat subuh, Faisal baring semula di atas katil. bukan mahu tidur, tetapi sekadar baring-baring.

"Jangan tidur selepas solat Subuh, mewarisi kepapaan," pesan emak selalu.

"Jangan tidur selepas solat Subuh, menutup pintu rezeki," pesan atta juga.

"Jangan tidur selepas solat Subuh, pemalas!" Bebel Kak Aisyah sewaktu dia tidak dapat peluang untuk tidur. Kerana kalau ada peluang dia sendiri akan tidur selepas solat Subuh, sebelum solat Zuhur, selepas solat Zuhur, sebelum solat Asar dan kadang-kadang selepas solat Asar. Kak Aisyah memang suka tidur.

"Faisal, pukul berapa hendak pergi sekolah?" Mami Zaiton, emak Faisal bertanya.

"Hendak pergilah ini. Tengah siap. Pakai baju," jawap Faisal sambil mencapai tuala dan terus bergegas ke bilik air.

"Mandi bersih-bersih. Jangan lupa sabun"

"Tengah pakai baju kenapa pula kena pakai sabun?" Seloroh Faisal dengan emaknya.

Faisal memang lebih rapat dengan emaknya berbanding dengan atta. Dan mereka sering bergurau.

"Cepat sedikit mandi. Nanti lambat pula Atta buka kedai"

Memang begitulah lazimnya, Atta (panggilan untuk bapa) akan hantar Aisyah dan Faisal ke sekolah sebelum buka kedai. tetapi itu tidak bermakna Mami Zaitun tidak akan buka kedai sendiri.

Memang atta yang biasakan begitu, sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab mencari nafkah dan rezeki untuk keluarga, Attalah yang seharusnya buka kedai runcit yang dijalankan oleh mereka semenjak tiga tahun lalu.

Mami Zaitun hanya membantu di kedai ketika mana anak-anak berada di sekolah. Kalau ada anak-anaknya yang tidak bersekolah hari itu, Mami Zaitun akan duduk di rumah bersama anak-anaknya.

Melainkan kalau Atta ada urusan lain. ketika itulah, baru Mami Zaitun akan buka dan jaga kedai