Semalam aku berada di Paya Bungor, Kuantan kerana berjumpa dengan Mak dan Ayah Mertua. Selepas mendapat panggilan dari Paeng dan SMS dari Amir, yang membawa berita kemalangan yang menimpa Kamal Adam dan (arwah) isterinya Syikin. Mula-mula aku perasan miss call dari Paeng jam tiga pagi, tetapi Paeng call semula ketika kami bersahur.
Kamal dan (arwah) isteri ditimpa kemalangan ketika pulang ke kampung Syikin di Pekan kerana ingin berjumpa dengan puteri kesayangan mereka. Anak mereka ditinggalkan di kampung sejak beberapa minggu lepas dan pastinya kerinduan mereka untuk melihat anak mereka tidak kepalang. Lebih-lebih lagi kerinduan seorang ibu! Tapi apakan daya, ALLAH tentunya ada percaturan sendiri.
Selepas menunaikan solat subuh, aku dan adik iparku - Arif, memandu ke Hospital Jengka kerana menurut Paeng, Kamal & (arwah) isterinya berada di sana. Tetapi belumpun sampai di Hospital - kira-kira 100 meter ke persimpangan Chenor/Jengka, Paeng call lagi untuk beritahu yang mereka sudah dibawakan ke Pekan.
Aku patah balik tapi kali ini tidak melalui jalan bertol. Dan, aku dan Arif tidak terus ke Pekan tetapi singgah dulu di rumah.
Kira-kira jam 9.40 aku dan Arif menuju ke Taman LPNP, Pekan untuk berjumpa dengan Kamal dan keluarga. Jenazah masih berada di rumah dan sedang disiapkan untuk membawanya ke tanah perkuburan - Kg Langgar, Pekan. Aku juga sempat mengambil bahagian untuk menyangkul tanah. Walaupun tengahari di bulan Ramadhan, kali ini tidak tersiksa dek bahang matahari, tidak seperti pengalaman ketika pengkebumian arwah Pak Lang di Sg Petani dua tahun lepas.
Dalam kemalangan ini, Kamal hanya mengalami patah tangan.
Oh ya. Kamal adalah antara kawan aku yang rapat sejak dari sekolah menengah dulu. Banyak kenangan aku bersamanya - tidak hanya di asrama tetapi hubungan kami tidak pernah putus sehingga kini walaupun kami menyambung belajar di tempat lain dan bekerja di tempat lain.
Arwah Syikin, aku tak ingat bilakah mula-mula kami berkenalan dulu. Rasanya di UiTM ketika mereka sama-sama mengambil ACCA.
Tetapi aku paling ingat kali terakhir kami berjumpa! Iaitu pada pagi Ahad 9 Ogos di Gelanggang Futsal Sport Planet, Subang. Ketika itu kami - aku, Kamal dan yang lain-lain menyertai pertandingan Futsal antara batch anjuran Peramah - Alumni SMKA Maahad Hamidiah, Kajang.
Kamal dan Syikin hanya datang berdua kerana anak mereka (aku tak ingat nama anak mereka tetapi dipanggai 'Ecah') ditinggalkan di kampung mereka di Pekan. Kali terakhir aku berjumpa dengan Ecah adalah ketika kenduri akikah Ecah di PJ. Ketika itu Syikin masih dalam pantang dan kerana itu isteriku tidak pernah berjumpa dengannya.
Sebelum balik dari pertandingan tersebut, aku dan Syikin sempat berborak-borak sambil merujuk buku yang dipegangnya (Syikin membaca buku tersebut sementara menunggu suaminya bermain futsal). Antara perkara yang diborakkan adalah mengenai buku yang aku tulis bersama Zamri Mohammad, mengenai internet marketing, bisnes training dan software untuk Foreign Exchange (Forex). Dan dia ada meminta nombor telepon Zamri, tapi aku tak sure Arwah Syikin ada hubungi Zamri atau tidak.
Tak sangka rupanya itulah kali terakhir kami berjumpa. Semoga rohnya diabadikan dikalangan orang-orang yang beriman.
Diharapkan Kamal dan keluarga Syikin tabah menghadapi dugaan ini.
Al-fatihah
1 ulasan:
Innalillahiwainnailaihirojiun ..
Catat Ulasan