Semua mereka tidak tahu. Setiap mereka yang aku bertanya akan menjawab "Entah, saya tidak tahu." Apakah mereka benar-benar tidak tahu? Atau cuba mengelak untuk turut terlibat lebih jauh? Apakah mereka tidak mencuba mencari jalan penyelesaiannya?. Mengapa dua hati ini tidak lagi boleh disatukan lagi? Mengapa mereka tidak juga menghalang retakan itu supaya tidak semakin dan seterusnya terus pecah terbelah?
Bukankah dahulunya mereka seiya sekata? Bukankah dahulunya mereka sehati sejiwa? Bukankah mereka umpama kuntum dan tangkai? Bukankah mereka umpama bunga dan kumbang? Bukankah mereka umpama pantai dan ombak? Bukankah mereka umpama bulan dan bintang? Bukankah mereka merpati dua sejoli?
Dahulu mereka mudah sahaja bertunang selama enam bulan lamanya. Meriah pula mereka melangsungkan majlis perkahwinan. Selama lebih suku abad mereka bersatu. Selama lebih dua puluh lima tahun mereka berkongsi hidup. Selama lebih tiga ratus bulan mereka berkongsi suka dan duka. Tapi mengapa sekarang, saat ini, ketika ini, mereka tidak lagi seperti dahulu? Jangankan bermesra, bersua dan bertegur sapa pun tidak pernah kebelakangan ini.
Mereka ini ibu dan ayahku. Aku ini berasal dari benih mereka. Mereka ini yang membelaku ketika kecil. Mereka yang mengasuhku dari kecil. Mereka ini yang mendidikku sehingga remaja. Mereka ini yang menyara hidupku. Mereka ini yang menyiapkan minum pakaiku. Mereka ini yang menumpah kasih sayang kepadaku. Mereka ini adalah segala-galanya kepadaku. Tanpa mereka siapalah aku.
Tapi mereka tidak lagi seperti dahulu. Tapi mereka tetap ibu dan ayahku. Mereka belum lagi bercerai. Ayah belum melafazkan talak. Ibu belum meminta fasakh. Mereka masih lagi tinggal sebumbung. Walaupun tidak semesra dahulu. Walau tidak bercerai berai. Mereka tetap suami isteri. Ikatan mereka tetap sah. Langit arasy belum bergegar lagi. Aku amat yakin begitu.
Dan tetapi. Sampai bilakah mereka perlu begini? Apa yang sebenarnya punca masalah? Di manakah sebenarnya kesilapannya? Siapa yang sebenarnya bersalah? Siapa yang sebenarnya patut mengalah? Bagaimanakah cara untuk menyelesaikan segala masalah?
Sampai bila-bila aku mahu mereka hidup sebagai suami isteri. Sampai bila-bila aku mahu mereka bersatu. Sampai bila-bila aku mahu mereka berkongsi hidup. Sampai bila-bila aku mahu mereka berkongsi suka dan duka. Sampai bila-bila. Itulah janjiku. Itulah harapanku. Itulah cita-citaku. Dan siapa yang sudi membantuku? Ya Allah! Bantu diri hambamu ini untuk menyatukan dua hati yang amat istimewa dalam hidupku.
"Mereka akan bersatu juga nanti." Itulah kata-kata Kak Hanim. Sebelum dia menambah, "Entah, Kak Hanim tidak tahu. Biarkanlah. Mereka akan baik semula nanti. Kita bukannya tidak cukup kasih sayang walaupun mereka tidak bertegur sapa. Kita juga cukup minum pakai. Ayah tidak pernah lupa memberikan wang belanja. Ibu tidak pernah lupa menyediakan makanan. Tidak pernah kita kekurangan ubat dan pakai ketika sakit mahupun ketika kita sihat."
Aku benar-benar tersentap dengan kata-kata Kak Hanim. Betapa Kak Hanim mengambil jalan mudah bagi menyelesaikan kekusutan dalam hubungan ibu dan ayah sekarang ini. Bukankah Kak Hanim anak yang sulung yang punya tanggungjawab. Dia punya tanggungjawab yang besar terhadap keluarga.
Kak Hanim tidak boleh menjadikan alasan yang dia tidak lagi perlukan kasih sayang. Walaupun dia sudah di peringkat dewasa. Walaupun dia sudah mampu memperoleh pendapatan sendiri. Kak Hanim tidak boleh bertindak begitu. Dan sememangnya Kak Hanim tidak boleh bertindak begitu.
Atau mungkin Kak Hanim belum sedar tentang hal ini. Dan belum nampak natijah yang akan berlaku. Apakah kerana ruang kegiatan hariannya yang sibuk mengambil upah menjahit membuatkan dia tidak mengambil jalan serius untuk memulihkan hubungan antara ibu dan ayah? Kak Hanim tidak patut menggunakan alasan itu. Memang tidak patut.
Kata-kata Kak Hanim ketika memotong-motong helaian kain pagi tadi masih terngiang-ngiang di telingaku. Sambil aku menolong serba sedikit di ruang bilik jahitnya, aku cuba berbincang dengan Kak Hanim tentang harapanku untuk menyatukan hati ibu dan ayah. Kain-kain yang berlainan warna dan corak terlonggok di beberapa tempat. Ada pula yang sudah dicantumkan beberapa helai kain dan menjadi baju. Memang cantik baju-baju yang dijahit Kak Hanim.
Kak Hanim memang pandai menjahit. Kerana itu kebanyakan orang menempah kudrat Kak Hanim untuk menjahitkan kain baju. Bukan sekitar jiran-jiran sahaja yang mengirimkan kepada Kak Hanim untuk menjahit baju, malah orang-orang dari pekan juga datang menghantar baju supaya dapat Kak Hanim menjahit untuk menjadikan baju. Atau langsir. Atau sarung bantal sekalipun.
Kak Hanim memang rajin bekerja. Selain pelanggan-pelanggannya datang untuk menghantar kain, mereka juga gemar mendengar celoteh dari Kak Hanim. Sambil mengunting kain, sambil melipat kain, sambil menjahit kain, Kak Hanim boleh sahaja rancak bersembang-sembang dengan pelanggan-pelanggannya. Ada sahaja topik perbualan mereka. Kak Hanim memang mudah mesra dan ini membuatkan ramai orang senang mendampingnya.
Dua helai kain. Bukan! Lebih dari itu sebenarnya. Berhelai-helai kain dapat Kak Hanim satukan menjadi baju. Kain-kain yang berpisah-pisah itu dapat bercantum semula. Semua itu kerana Kak Hanim menggunakan benang. Benanglah yang Kak Hanim gunakan ketika menjahit kain-kain itu untuk menjadi baju.
Bukan satu jenis kain. Bukan jenis kain yang sama. Bukan satu warna kain. Bukan warna kain yang sama. Bukan satu corak kain. Bukan corak kain yang sama. Tetapi pelbagai jenis jenis, warna dan corak dapat dijahit dan disatukan menjadi baju yang sangat cantik. Tetapi kenapa hati kedua ibu ayahnya tidak dapat Kak Hanim satukan? Hanya dua hati. Bukan menyatukan satu kampung. Bukan menyatukan satu negara. Hanya menyatu dua hati.
Aku dapat melihat semua itu. Secara jelas aku melihat. Kain-kain itu dapat dicantum dengan menggunakan benang. Tapi bagaimana dengan hati kedua orang tuaku? Bagaimana dengan hati ibu dan ayahku? Ya Allah! Bantulah diri hambamu ini dalam penyatuan dua hati milikMu juga Tuhan.
"Entah, Abang tidak tahu. Lidah lagikan tergigit." Aku tersentak lagi. Kali ini aku tersentak dengan kata-kata Abang Hasrul petang tadi. Walaupun ringkas, tetapi memberikan besar makna. Maknanya Abang Hasrul juga merasakan perkara ini suatu yang mudah. Tidak perlu berat-berat kepala memikirkan. Bukankah Abang Hasrul adalah anak lelaki sulung dalam keluarga yang punya tanggungjawab. Dia punya tanggungjawab yang besar terhadap keluarga.
Abang Hasrul tidak boleh menjadikan alasan yang perkara ini bukanlah suatu yang baru dalam masyarakat kita. Memang kita sudah biasa dengar perkara ini. Memang kita sudah lali dengan kes-kes ini. Memang kita sudah tidak heran dengan cerita ini. Tetapi kita tidak boleh biarkan sahaja. Abang Hasrul juga tidak boleh bertindak begitu. Dan sememangnya Abang Hasrul juga tidak boleh bertindak begitu.
Atau mungkin Abang Hasrul juga belum sedar tentang hal ini. Dan belum nampak natijah yang akan berlaku. Apakah kerana ruang kegiatan harian Abang Hasrul yang sibuk mengambil upah membuat rumah dan bangunan membuatkan dia tidak nampak yang betapa seriusnya langkah-langkah yang perlu diambil untuk memulihkan hubungan antara ibu dan ayah. Abang Hasrul tidak patut menggunakan alasan itu. Memang tidak patut.
Kata-kata Abang Hasrul ketika mengutip batu-batu bata petang tadi masih kuingat. Sambil aku menolongnya serba sedikit, aku cuba berbincang dengan Abang Hasrul tentang harapanku untuk menyatukan hati ibu dan ayah. Batu-batu yang tidak lagi serupa bentuknya itu di asing-asingkan Abang Hasrul. Aku tidak pasti perbezaan antara kelompok batu-batu bata itu. Tetapi aku tahu yang Abang Hasrul memang tahu akan kerjanya. Bukan baru Abang Hasrul bekerja sebagai buruh binaan.
Bersama-sama dengan teman karibnya, sudah berbelas-belas rumah sudah mereka bekerjasama membina rumah. Petang itu, Abang Hasrul menyambung kerjanya dengan menyusun batu-batu bata itu untuk membina dinding. Abang Hasrul memang cekap dengan kerja-kerjanya. Dinding itu nampak kukuh setelah habis Abang Hasrul menyusun batu-batu bata itu.
Satu persatu batu Abang Hasrul kutip dan disusunkannya secara meninggi. Dengan mengunakan bancuhan simen, Abang Hasrul meletakkannya ditengah-tengah antara batu-batu bata itu. Dengan bancuhan simen itulah batu-batu itu tegak dipanggil dinding. Dengan campuran pasir, air dan simen itulah menjadikan batu-batu itu tegak sasa. Tetapi kenapa hati kedua ibu ayahnya tidak dapat Abang Hasrul satukan? Hanya dua hati. Bukan menyatukan satu kampung. Bukan menyatukan satu negara. Hanya menyatu dua hati.
Aku dapat melihat semua itu. Secara jelas aku melihat. Batu-batu itu dapat dicantum dengan menggunakan bancuhan simen. Tapi bagaimana dengan hati kedua orang tuaku? Ya Allah! Bantulah diri hambamu ini dalam merapatkan ukhwah dikalangan makhlukMu Tuhan.
Abang Hasrul memang pendiam antara kami adik-beradik. Aku tahu, banyak yang disimpankannya di dalam hati. Dia lebih banyak mendengar dari berkata-kata. Jadi hari ini aku ingin mendengar keseluruhan pendapat dan pandangannya dalam mencari jalan penyelesaian ini. Aku perlu menghabiskan lebih banyak masa dengan bersamanya untuk mendengar pendapat dan pandangannya.
Selepas sama-sama pulang ke rumah, kami berehat sebentar melepaskan lelah bekerja tadi. Petang masih cerah. Abang Hasrul menyambung bekerja di rumah pula. Kali ini bertukang kayu. Aku membantunya menggergaji kayu pula. Abang Hasrul memang mahir memotong kayu-kayu itu dengan mengunakan gergaji. Sekejap sahaja kayu-kayu itu habis dipotongnya. Dia masih lagi diam. Dia masih lagi membisu. Dia masih lagi tidak berkata-kata. Dia tekun dengan kerja-kerjanya. Memang itu sifatnya. Tekun apabila membuat sesuatu perkara. Tanpa banyak bersuara. Bersuara hanya ketika benar-benar perlu. Amat berbeza dengan Kak Hanim.
Kemudian kayu-kayu tersebut disusun pula mengikut ukuran-ukuran tertentu. Diambil satu persatu dan melekatkan beberapa batang kayu lalu memakunya. Beberapa rangka bangku sudah siap dipasang oleh Abang Hasrul. Dengan menggunakan paku, kayu-kayu yang dipotong Abang Hasrul menjadi bangku. Walaupun kayu-kayu itu dipakukan silang menyilang, tetap kukuh menjadi bangku. Tetapi kenapa hati kedua ibu ayahnya tidak dapat Abang Hasrul satukan? Hanya dua hati. Bukan menyatukan satu kampung. Bukan menyatukan satu negara. Hanya menyatu dua hati.
Aku dapat melihat semua itu. Secara jelas aku melihat. Kayu-kayu itu dapat dicantum dengan menggunakan paku. Tapi bagaimana dengan hati kedua orang tuaku? Ya Allah! Bantulah diri hambamu ini dalam mengembalikan kebahagiaan keluarga di kalangan makhlukMu Tuhan.
"Entah, adik tidak tahu. Manalah adik tahu menahu pasal ni. Abang Hakimi tanyalah pada ibu. Tanyalah pada ayah." Aku sudah tidak hairan apabila adik bongsuku, Hisyam memberi pendapat begitu. Dia katakan apa yang dilihatnya di sekeliling. Apabila Kak Hanim dan Abang Hasrul pun tidak peduli, inikan pula Hisyam yang masih bersekolah rendah itu dapat melihat kerapuhan hubungan antara dua hati permata yang amat istimewa itu.
Namun begitu, bukanlah alasannya untuk hanya memeluk tubuh. Hanya tunggu dan lihat. Walaupun Hisyam masih kecil, dia tidak boleh senyap tidak membuat apa-apa. Kedudukan yang bongsu dan masih kecil itulah amat memerlukan limpahan kasih ibu dan ayah. Tidak hanya sayangnya ibu atau kasihnya ayah sahaja. Ia perlukan kedua-duanya sekali. Hisyam perlu menjadi anak bongsu yang juga punya tanggungjawab. Dia juga punya tanggungjawab yang besar terhadap keluarga. Dengan kedudukannya yang bongsu, tentu sahaja dia mampu mengeksploit hubungan antara ibu dan ayah supaya dapat bersatu semula.
Memang Hisham belum sedar tentang hal ini. Dan belum nampak natijah yang akan berlaku. Apakah kerana batasan umur dan kedudukannya dalam keluarga menidakkannya untuk dia mengambil jalan serius untuk memulihkan hubungan antara ibu dan ayah? Bagiku tidak! Hisyam tidak patut menggunakan alasan itu. Memang tidak patut.
Aku masih di hadapan Hisyam yang tekun membuat kerja sekolahnya. Helaian surat khabar dikoyak-koyaknya. Helaian kertas warna-warni dipotong-potongnya. Dan helaian kertas lukisan digunting-guntingnya. Berserabut sangat didepannya. Sudahlah kepalaku berat terbeban masalah ibu dan ayah. Badan pula lenguh-lenguh akibat letih membantu kerja-kerja kakak dan abangku petang tadi. Mataku pula serabut melihat kerja-kerja yang Hisyam lakukan yang menyemakkan itu.
Dalam situasi ini, dalam keadaan ini, dalam ketika ini, aku tidak perlu terus memarahi Hisyam. Biarlah dia uruskan kerja dengan cara itu. Walaupun nampak berserabut, walaupun nampak tidak terurus. Biarkanlah. Selesai nanti aku akan menasihatkannya. Apa yang perlu aku buat ialah diam hanya melihat kerja-kerjanya. Aku hanya akan bersuara ketika mana Hisyam memerlukanku nanti.
Tidak ada apa-apa yang boleh aku bualkan dengan Hisyam tentang masalah keluargaku ini. Kak Hanim dan ibu menonton televisyen di ruang tamu. Entah apa yang drama TV yang mereka tonton. Dan pastinya ibu hanya mendengar suara Kak Hanim melebihi dari suara-suara di dalam rancangan TV. Abang Hasrul dan ayah pula duduk di bangku di beranda luar rumah. Entah apa yang dibualkan oleh mereka. Dan pastinya ayah yang lebih banyak mengeluarkan kata-kata berbanding dari Abang Hasrul yang pendiam itu.
"Abang Hakimi, tolong hulurkan botol gam itu." Hisyam memecahkan lamunanku. Dia masih menghulurkan tangannya untuk menyambut botol gam yang dimintanya. Dan sebentar kemudiannya pula aku menghulurkan botol gam yang dimintanya. "Terima kasih." Aku melihat wajah Hisyam. Kemudian aku melihat longgokkan kerja-kerjanya tadi. Sudah tidak bersepah lagi. Hasil kerjanya juga cantik.
Hasil seni yang dipanggil kolaj itu memang cantik kalau mahu dibandingkan dengan hasil kerja orang lain seusia Hisyam. Dalam usianya yang muda itu Hisyam sudah menunjukkan bakatnya di dalam bidang kesenian ini. Beberapa helai kertas surat khabar, beberapa helai kertas warna-warni, beberapa kertas lukisan yang nampak begitu menyemakkan tadi sudah berubah menjadi hasil seni yang cantik.
Hisyam memang berbakat dalam kegiatan seni. Walaupun hampir habis gam yang digunakan oleh Hisyam untuk meletakkan cebisan dan helaian kertas-kertas itu, tetapi ia berbaloi kerana hasilnya sangat cantik. Tetapi kenapa hati kedua ibu ayahnya tidak dapat Hisyam satukan? Hanya dua hati. Bukan menyatukan satu kampung. Bukan menyatukan satu negara. Hanya menyatu dua hati.
Aku dapat melihat semua itu. Secara jelas aku melihat. Kertas-kertas itu dapat dicantum dengan menggunakan gam. Tapi bagaimana dengan hati kedua orang tuaku? Bagaimana dengan hati ibu dan ayahku? Ya Allah! Bantulah diri hambamu ini dalam mencari keredhaanMu Tuhan.
Setelah berbulan-bulan aku tinggal di kolej, memang aku tidak tahu keadaan mereka. Memang aku tidak tahu keadaan keluargaku. Setiap sehelaian surat yang dikirimkan mereka hanya menyatakan bahawa mereka: ibu, ayah, Kak Hanim, Abang Hasrul dan Hisyam, sihat walafiat. Tidak pula nyatakan keutuhan hubungan antara mereka. Namun aku bersyukur. Aku masih belum terlewat untuk menyatukan kembali dua hati yang tidak lagi seiya sekata. Dua hati yang tidak lagi sehati sejiwa. Aku masih belum terlewat untuk menyatukan kedua ibu dan ayahku.
Sekarang aku harus tumpukan sepenuh hati. Perkara ini adalah perkara serius. Perkara ini tidak boleh dipandang ringan. Besar bencana yang akan menimpa jika hubungan ini tidak dipulihkan. Dasyat natijahnya jika hubungan ini sentiasa dalam keadaan retak yang hanya menantikan belah. Aku tidak boleh tunggu lama lagi. Aku harus bertindak secepat mungkin. Tapi, bagaimana?
Bukan mudah untuk menyatukan dua hati ini. Hati yang tidak bersatu ini tidak boleh disamakan dengan kain yang carik. Hati yang tidak bersatu ini tidak boleh disamakan dengan batu yang pecah. Hati yang tidak bersatu ini tidak boleh disamakan dengan kayu yang patah. Hati yang tidak bersatu ini tidak boleh disamakan dengan kertas yang koyak.
Hati tidak boleh disamakan dengan kain, batu, kayu dan kertas. Hati tidak boleh disamakan dengan yang lain-laun pun. Kain nyata sifatnya dan maujud kelihatan. Batu, kayu dan kertas juga nyata sifatnya dan maujud kelihatan. Sedangkanhati wujud di dlam tubuh manusia. Jadi bagaimana hendak menyambungnya? Bagaimana hendak menyatukannya? Bagaimana hendak mencantumkannya? Sedangkan hati adalah wujud tetapi tidak maujud kelihatannya.
Jika kain yang carik bolehlah kita menggunakan benang untuk mencantumnya. Jika batu yang pecah bolehlah kita menggunakan simen untuk mencantumnya. Jika kayu yang patah bolehlah kita menggunakan paku untuk mencantumnya. Jika kertas yang koyak bolehlah kita menggunakan gam untuk mencantumnya. Tetapi hati yang terbelah, hati yang tidak bersatu, tidak ada medium fizikal yang diperlukan. Tetapi apakah medium yang perlu aku gunakan.
Hati memang tidak boleh disamakan. Hati memang tidak nampak. Tetapi aku tetap mahu kedua-duanya bersatu. Niatku, azamku, cita-citaku, harapanku hendak menyatukan kedua-dua hati ini. Sesuatu perkara itu bermula dengan niat. Niat yang baik akan memberikan natijah yang baik. Dan aku yakin, aku sedang melakukan perkara yang baik. Sedangkan orang yang merancang untuk melakukan kejahatan dan maksiat pun Allah tunas dan makbulkan, inikan pula melakukan perkara yang baik. Aku pasti Allah akan mempermudahkan jalanku ini untuk menyatukan kedua hati ibu dan bapaku.
Tidak sempurnalah imanku jika aku tidak cuba menyatukan dua hati milikMu Tuhan. Tidak sempurnalah imanku jika aku tidak dapat merapatkan ukhwah dikalangan makhlukMu Tuhan. Tidak sempurnalah imanku jika aku tidak dapat mengembalikan kebahagiaan keluarga di kalangan makhlukMu Tuhan. Tidak sempurnalah imanku jika aku tidak dapat mencari keredhaanMu Tuhan.
Ya! Imanlah yang dapat menyatukan dua hati. Dengan medium imanlah aku dapat menyatukan kedua hati ibu dan bapaku. Dengan iman juga dapat menyatukan hubungan ibubapa dan anak. Dengan iman juga dapat menyatukan keluarga dengan saudara-mara. Dengan iman juga dapat menyatukan masyarakat. Dengan iman juga dapat menyatukan negara, bangsa dan agama. Imanlah medium menyatuan antara dua hati. Bukan dua! Tetapi lebih dari ini.
Ya Allah. Sematkanlah iman yang sebenar-benar iman di dalam piala hatiku. Seterusnya sematkanlah juga hidayah keimanan itu kepada kedua ibu dan ayahku. Seterusnya sematkanlah juga hidayah keimanan itu kepada semua ahli keluargaku. Seterusnya sematkanlah juga hidayah keimanan itu kepada saudara-maraku, seluruh masyarakat, seluruh negara, bangsa dan agama.
Sesuatu bangsa dan negara itu akan kukuh kerana penyatuan masyarakatnya. Oleh itu ya Allah, sematkanlah iman kedalam piala hati setiap umat di dunia supaya Islam menjadi suatu agama yang kukuh dan kuat dalam menentang kemunafikkan. Dalam menentang cabaran dunia yang sering memandang serong terhadap Islam. Dalam cabaran menegakkan panji kebenaran.